Zuhaymee meyediakan kacang soya sebelum proses penapaian. FOTO Azrul Edham
Zuhaymee meyediakan kacang soya sebelum proses penapaian. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Seremban: Diminta bersumpah bekalan produk berasaskan soya diperoleh daripada pembekal muslim.

Itu antara pengalaman seorang peniaga yang menjual air soya yang gigih mencari rezeki untuk membesarkan tiga anak.

Menceritakan kisah itu, Zuhaymee Mustapa, 54, dia bermula dengan menjual tauhu

ketika itu seorang pengusaha air soya memberitahu proses untuk membuatnya adalah sukar menyebabkan dia tercabar untuk belajar.

"Dia beritahu proses buat produk soya ini susah, lebih senang jika beli saja. Malah ketika itu juga kebanyakan produk soya banyak dikaitkan dengan kaum Cina dan dari situ saya cabar diri untuk buat dan belajar dengan tiga pengusaha soya.

"Selepas itu, saya buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri dengan gabungkan ilmu dipelajari daripada tiga pengusaha itu sehinggalah terhasilnya produk saya sendiri," katanya ketika ditemui.

Zuhaymee berkata, selepas kira-kira enam bulan membuat percubaan, akhirnya dengan modal pinjaman daripada bank sebanyak RM4,000, dia membeli mesin dan beberapa peralatan lain.

"Bermulalah kisah saya menjual air soya, tauhu dan taufufa dari rumah ke rumah menggunakan motosikal roda tiga selain turut berniaga di pasar malam pada hari tertentu.

"Pada permulaan, saya masih menghasilkan produk dari rumah saja. Ketika itu anak masih kecil dan kami tiada pekerja maka isteri jugalah yang banyak berkorban.

"Cabaran saya juga apabila perlu mendapat kepercayaan bahawa soya dan tauhu ini dibuat sendiri dan bukannya diambil daripada pengusaha bukan Islam kerana ia sinonim dengan kaum Cina," katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia bersyukur kerana mendapat bantuan daripada kerajaan seperti geran dan sebagainya, namun perlu berpindah ke premis kilang sebelum beroperasi di rumah kedai di Taman Jujur, di Sikamat pada 2006.

"Banyak bantuan yang diterima bukan saja dalam bentuk geran, tetapi juga kursus perniagaan yang dapat membantu saya mengembangkan perniagaan.

"Sebenarnya banyak insentif daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat, jadi rebutlah peluang yang ada ini," katanya.

Selain itu katanya, pelanggan Muslim khususnya tidak perlu bimbang kerana kesemua produk keluaran syarikatnya mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 10:49 AM