GAMBAR kenangan raya dahulu kini menjadi nostalgia yang dirindui.
GAMBAR kenangan raya dahulu kini menjadi nostalgia yang dirindui.
Oleh Ramzi Ammar Bin Rosman

  

Meniti ke usia 21 tahun bersama ibu, melalui kehidupan berdua bersama manakala abang dan adikku tinggal bersama ayah, engkau pasti dapat memahami perjalanan hidupku.

Membesar dan dan cuba memahami erti kehidupan tanpa kesempurnaan sebuah keluarga bukanlah untuk seseorang itu harus lalui. Tapi Itulah realiti yang aku terima dalam aku melangkah ke alam remaja dan belajar untuk menjadi seorang dewasa.

Aku terdiam tiada suara, fikiran aku berputar menyusun kata selepas aku lontarkan soalan mudah pada nenek pada suatu petang, ketika duduk di anjung rumah melihat matahari yang mula mengundurkan diri.

"Nenek...apa satu permintaan nenek untuk keluarga kita?" Satu soalan pendek, hanya sebagai mengisi ruang kosong antara perbualan. Jawapan yang aku terima menyentap perasaanku. Aku sedikit tersentak dan perasaan sebak memenuhi hatiku.

Nenek tak minta banyak, hanya nenek nak lihat semua anak-anak bersatu dan berkumpul semula. Nak semua cucu-cucu nenek balik kampung. Nenek rindu sangat nak dengar gelak ketawa semua di malam raya. Nenek tak mahu semua bergaduh dan bermasam muka. Kalau boleh, nenek nak mati dalam keadaan yang tenang tanpa ada rasa berat hati dan rasa bersalah. Itu sahaja permintaan nenek..." Nenek menghabiskan jawapannya dalam kegenangan air mata sambil melihat senja yang menginsut perlahan membawa cahaya terakhirnya. Perbualan bernoktah bersama kesunyian waktu berkenaan.

Aku sebagai seorang cucu merasai kesedihan dan kepedihan perasaan nenek. Setiap ayat yang diluahkan oleh nenek menghiris pedih terasa di hatiku.

Kata-katanya membuatkan aku mengimbau kenangan suasana di malam raya suatu ketika dahulu.

   

Meriah!

   

Masing-masing bercerita pengalaman dan disulami dengan gelak tawa yang berderai, anak cucu berlari riuh dengan bunga api masing-masing, senyuman gembira nenek tidak lekang melihat suasana rumahnya meriah di malam raya. Tapi itu hanya kenangan yang terselit di celahan lembaran waktu. Kini laman di depan rumah kosong dan suram bersama waktu yang berlalu. Cucu-cucu kini semuanya sudah dewasa dan masing-masing sudah mempunyai tanggungjawab mereka sendiri. Tiada lagi derai tawa di ruang rumah. Tiada lagi pekikan dan teriakan bersama bunga api di malam raya.

Tidak dinafikan, kenangan raya dahulu amatlah dirindui dan menjadi satu nostalgia untuk kami semua.

Untuk berkumpul dan mempunyai suasana seperti dahulu bukanlah mudah. Tetapi, ianya juga tidak mustahil. Setiap kali apabila 1 Syawal mula menghampiri, nenek sentiasa menunggu kepulangan anak-anak dan cucu-cucunya untuk kembali dan memeriahkan rumah dan kampung halamannya. Dan harapannya tidak dihampakan, doa nenek dimakbulkan oleh Allah SWT kerana pada malam raya tahun ini, semua anak-anak dan cucu-cucunya kembali memeriahkan suasana pada malam raya di rumahnya. Air mata nenek di malam raya kali ini, adalah air mata permintaannya. Air mata yang mengubat kerinduannya selama ini.

Walau sesukar manapun perjalanan seseorang itu dalam menempuh perjalanan kehidupan ini, sentiasalah bersyukur dan mengingati mereka yang sering mendoakan kejayaan kita. Ingatlah asal-usul kita dan mereka yang sentiasa menyayangi kita. Dalam perjalanan dan kejayaan kita, pasti akan ada seseorang yang mengalirkan air mata gembira dengan iringan doa sebelum kita memulakan langkah itu. Bermaafanlah antara keluarga, kerana dari situlah bermulanya kehidupan kita.

Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada saya, untuk anda dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 8:00 AM