TETAMU yang datang ke rumah Mohd  Zaidi Mohd dan isteri, Noor Lida Adnan. FOTO Ihsan Mohd Zaidi Mohd
TETAMU yang datang ke rumah Mohd Zaidi Mohd dan isteri, Noor Lida Adnan. FOTO Ihsan Mohd Zaidi Mohd
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bergelar perantau sejak 12 tahun kerana menetap di Sydney, Australia bukan alasan untuk Mohd Zaidi Mohd melupakan adat dan tradisi Melayu menyambut Aidilfitri.

Buktinya, Mohd Zaidi, 54, tidak ketinggalan meraikan rakyat Malaysia yang berada di Sydney dengan mengadakan rumah terbuka setiap kali tibanya 1 Syawal.

Mohd Zaidi yang bekerja sebagai cef berkata, majlis rumah terbuka itu menjadi rutin tahunannya sejak lima tahun lalu dan diteruskan semalam dengan kehadiran kira-kira 300 tetamu di rumahnya.

Atas usahanya itu, Mohd Zaidi dianggap 'ketua kampung' oleh rakyat Malaysia terutamanya yang menetap di Sydney.

"Sebenarnya, bukan hanya saya, malah ada ramai lagi rakyat Malaysia yang juga jiran saya di sini mengadakan rumah terbuka pada hari raya.

"Bagaimanapun, majlis yang besar diadakan di rumah saya dan ia adalah inisiatif saya bersama isteri untuk menghimpunkan rakyat Malaysia terutamanya kepada sesiapa yang berada di Sydney.

"Niat saya adalah nak kekalkan tradisi kita menyambut raya seperti tanah air dan mengubati kerinduan rakyat Malaysia yang berjauhan dengan keluarga.

"Ia kerana kita tak nak ada yang bersedih atau kesepian sebaliknya bersama menyambut hari raya seperti satu keluarga besar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohd Zaidi berkata, menjelang majlis rumah terbuka itu, dia akan membeli barangan keperluan untuk menyediakan juadah hari raya.

Menurutnya, tugas memasak pula diserahkan kepada isterinya, Noor Lida Adnan, 56, yang lebih arif dengan dibantu komuniti rakyat Malaysia.

"Kiranya kami lakukan bersama, cuma saya dan isteri yang anjurkan serta beli semua keperluan memandangkan kami tuan rumah.

"Pada pagi raya pula, kami akan berkumpul dan bermaafan antara satu sama lain.

"Alhamdulillah, setiap kali berkumpul pasti meriah, malah kanak-kanak yang datang pun kami beri duit raya.

"Walaupun jauh dengan keluarga di Malaysia, namun kami tetap seronok kerana dapat beraya bersama ibarat satu keluarga besar.

"Mereka (rakyat Malaysia) pun anggap saya dan isteri macam ibu juga ayah," katanya yang juga pernah menetap selama enam tahun di New Zealand.

Melihat sambutan diterima, bapa kepada tiga anak itu berhasrat untuk menganjurkan lagi majlis rumah terbuka itu pada masa akan datang.

"Ia acara wajib dan satu kemestian untuk menganjurkannya setiap tahun.

"Sebenarnya, bukan raya saja malah setiap minggu saya dan rakan Malaysia yang lain di sini, akan mengundang antara satu sama lain untuk makan di rumah masing-masing kerana itu cara kami eratkan silaturahim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 4:21 PM