BANGUNAN Kementerian Luar Negara , Wisma Putra di Putrajaya. FOTO NSTP
BANGUNAN Kementerian Luar Negara , Wisma Putra di Putrajaya. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seorang pelajar yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand pada 30 Mac lalu masih menerima rawatan susulan di Hospital Christchurch, New Zealand.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, dua mangsa yang cedera dalam insiden berkenaan sudah dibenarkan keluar dari hospital.

"Jenazah seorang daripada pelajar yang terkorban selamat dikebumikan di Christchurch, New Zealand manakala jenazah seorang lagi pelajar yang dibawa pulang juga selamat dikebumikan di Malaysia.

"Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand ingin memaklumkan bahawa semua urusan kebajikan mangsa-mangsa yang terbabit dalam insiden berkenaan selesai dan berjalan dengan lancar," katanya.

Menurutnya, KLN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terbabit termasuk kerajaan New Zealand, Hospital Timaru, Hospital Christchurch, Universiti of Canterbury, dan komuniti Malaysia di Christchurch.

"KLN juga merakamkan penghargaan kepada pihak lain yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam memudah cara dan memastikan pengurusan kebajikan semua mangsa berkenaan berjalan dengan lancar,"katanya.

Pada Sabtu, media tempatan New Zealand melaporkan insiden kemalangan membabitkan dua kenderaan dan sebuah motosikal berlaku di State Highway 8 berhampiran Lake Pukaki menyebabkan dua maut dan tiga yang lain cedera.

Dalam kejadian itu, Wan Nur Adlina Alisa dan seorang lagi pelajar Malaysia daripada universiti sama maut iaitu Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 5:33 PM