KUALA LUMPUR, 8 April -- Petugas PLUS gigih melakukan pemantauan pada skrin secara langsung ketika tinjauan aliran trafik berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri di Pusat Pemantauan Trafik PLUS hari ini.

BERNAMA

Kuala Lumpur: Aliran trafik di lebuh raya utama menghala keluar dari Lembah Klang terkawal malam ini dengan kesesakan hanya berlaku di beberapa lokasi.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata bagi arah ke utara, trafik perlahan hanya dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Slim River menuju ke Sungkai.

"Pengguna lebuh raya menghala ke utara bagaimanapun dinasihatkan berhati-hati kerana cuaca hujan lebat di beberapa kawasan di Perak antaranya di Gua Tempurung dan Terowong Menora," katanya ketika dihubungi malam ini.

Dalam pada itu, bagi laluan ke selatan, kesesakan berlaku dari Nilai menuju ke Bandar Ainsdale dan bagi laluan ke Pantai Timur kesesakan berlaku di kilometer 28 sehingga ke Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah dan dari Lentang ke Bentong.

Menurut beliau juga hanya dua lorong Smart Lane masih diaktifkan iaitu dari Nilai ke Bandar Ainsdale dan Setia Tropika ke Pasir Gudang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 9:55 PM