Tangkap layar menunjukkan letupan bunga api tidak terkawal di Dataran Jam Besar yang mengundang rasa takut di kalangan pengunjung bazar Aidilfitri di kawasan itu. FOTO IHSAN Pembaca
Tangkap layar menunjukkan letupan bunga api tidak terkawal di Dataran Jam Besar yang mengundang rasa takut di kalangan pengunjung bazar Aidilfitri di kawasan itu. FOTO IHSAN Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Orang ramai yang mengunjungi Dataran Jam Besar, di sini cemas dan bertempiaran lari sebaik terdengar letupan bunga api dan mercun di kawasan itu, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku sekitar jam 4.48 pagi itu menyebabkan pengunjung dan peniaga di kawasan itu ketakutan selepas melihat letupan menjadi tidak terkawal.

Berdasarkan video kejadian yang tular hari ini, beberapa individu kelihatan bermain bunga api di tepi jalan sebelum letupan itu menjadi tidak terkawal.

Difahamkan, letupan merebak selepas percikan bunga api itu turut mengakibatkan sejumlah bunga api dan mercun yang terletak berhampiran turut meletup sama.

Video berdurasi lebih dua minit itu menunjukkan orang ramai kelihatan panik serta takut sebelum melarikan diri untuk mengalihkan kenderaan masing-masing dari kawasan itu.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataannya berkata, pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kes kebakaran sampah di kawasan bazar Aidilfitri Dataran Jam Besar, di sini pada jam 4.55 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 4:03 PM