Zubir Hamsa
Zubir Hamsa
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan hanya satu kes membabitkan kesalahan kawalan harga menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2024 sejak ia dilaksanakan pada 5 April lalu.

Pengarah Seksyen Kawalan Harga dan Antipencatutan Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Zubir Hamsa berkata, dapatan itu hasil pemeriksaan yang dilaksanakan di 2,425 premis di seluruh negara membabitkan 42 premis di peringkat borong dan 2,383 di peringkat runcit, setakat semalam.

"Ini menunjukkan majoriti peniaga mematuhi kawalan harga yang ditetapkan dan kita akan terus melakukan pemeriksaan sehingga tamat skim harga pada 19 April ini," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Mengenai bekalan barangan keperluan menjelang Aidilfitri, beliau berkata, KPDN mengadakan perbincangan dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran dengan harga berpatutan.

Menurutnya, perbincangan itu dilaksanakan kira-kira sebulan lalu membabitkan agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

Zubir berkata, pengguna juga boleh membuat laporan dan menyalurkan aduan kepada pihak KPDN sekiranya mendapati terdapat kenaikan harga barangan yang dijual peniaga.

"Apabila pengguna mendapati harga berubah contohnya semalam RM8.90, hari ini RM9.40, dan keesokannya pula RM10, jadi itu adalah satu petunjuk untuk pengguna membuat laporan dan aduan kepada KPDN," katanya.

Beliau turut menasihati pengguna supaya membuat perbandingan harga sebelum pembelian, memilih harga berpatutan dan munasabah serta mengelak daripada menyokong peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan secara keterlaluan.

"Kepada peniaga, cuti raya ini kami (KPDN) bertugas, kami akan ada di setiap pasar, pasar raya dan sebagainya, SHMMP berkuat kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 1:02 PM