Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni. FOTO FB MRSM Tun Ghafar Baba.
Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni. FOTO FB MRSM Tun Ghafar Baba.
BERNAMA

Ipoh: Kira-kira 100 jemaah Masjid Sultan Yussuf Rapat Setia menunaikan solat jenazah ghaib selepas sembahyang zuhur hari ini untuk Allahyarham Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, pelajar Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand Sabtu lalu.

Solat itu diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Yussuf, Muhammad Shamsuddin dan turut dihadiri datuk Allahyarham, Megat Khashusaini Megat Abd Rahman, 85, dan ahli keluarga yang lain.

Megat Khashusaini ketika ditemui berkata pihaknya bersyukur, Allahyarham cucunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bromley, Christchurch kira-kira 9 pagi tadi waktu tempatan.

"Syukur, alhamdulillah urusan pengebumian jenazah Allahyarham cucu saya selamat dan selesai semuanya kira-kira 9 pagi tadi waktu New Zealand.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan yang mengutus ucapan takziah. Semoga roh cucu saya dicucuri rahmat oleh Allah SWT," katanya di sini hari ini.

Megat Khashusaini berkata dia sekeluarga reda dengan keputusan jenazah cucunya dikebumikan di New Zealand.

"Saya reda dia dikebumikan di sana walaupun sebelum ini bapanya berhasrat untuk membawa pulang jenazah anaknya untuk dikebumikan di Perak.

"Semoga roh cucu saya dan juga seorang lagi yang turut terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lepas, selain Megat Ashman Aqif, seorang lagi pelajar Malaysia, Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury turut terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada 1.45 tengah hari waktu tempatan.

Tiga lagi pelajar cedera dalam nahas sama iaitu Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Anak Walton dari universiti sama serta Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington.

– BERNAMA

TAG: solat jenazah, pelajar, maut, kemalangan, New Zealand, Megat Khashusaini Megat Abd Rahman, news, berita, xnstp, perak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 5:01 PM