HUSSEIN Omar Khan. FOTO arkib NSTP
HUSSEIN Omar Khan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima laporan dari lelaki warga Palestin yang mendakwa menerima ugutan daripada individu warga Israel.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, lain-lain maklumat setakat ini tidak boleh didedahkan," katanya.

Ahad lalu, Harian Metro melaporkan pemuda Palestin yang berada di negara ini bimbang keselamatannya selepas dihubungi individu berasal dari Israel sebanyak enam kali.

Mendedahkan perkara itu, Yousuf Abuassi, 28, mendakwa pernah menerima ugutan daripada beberapa warga Israel kerana sering memuat naik berkenaan penindasan di Gaza.

Katanya, dia menerima ugutan berkenaan bulan lalu serta mendakwa akan mencarinya sehingga dapat.

Sebelum ini, seorang lelaki warga Israel menggunakan pasport Perancis untuk masuk ke ibu negara ditahan dan polis menemukan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.

Lelaki berusia 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia.

Pemeriksaan di bilik hotel menemukan semua senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Semua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Kehadiran lelaki itu didakwa untuk membunuh seorang rakyat Israel disyaki berada di negara ini berhubung isu keluarga.

'Saya dihubungi orang Israel 6 kali, mereka kata akan cari saya sampai dapat' - Pemuda Palestin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 3:06 PM