Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman
Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Umat Islam termasuk di negara ini termasuk usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, disaran memfokuskan kepada ibadat dan melakukan kebaikan diakhir 10 Ramadan ini,' saran Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Zulkifli menyarankan perkara itu ketika diminta mengulas video lagu raya yang dimuat naik usahawan sensasi terbabit pada Program Dialog Pemimpin Pelbagai Kaum di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Seramai 40 wakil pemimpin pelbagai kaum hadir pada seisi dialog itu bagi membincangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Zulkifli, pada akhir Ramadan ini juga, ia adalah masa paling mustajab untuk berdoa dan mengukuhkan perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini.

"Semua pihak perlu mengenepikan isu yang tidak penting di bulan mulia ini terutama membabitkan perkara yang tidak membawa manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau turut menasihati semua pihak supaya bertenang dan tidak melakukan perkara di luar batasan, paling penting adalah memastikan kesahihan fakta serta maklumat.

"Laporan polis juga sudah dibuat (berkaitan isu ini) dan beri ruang kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

"Video yang tular itu memerlukan analisis menyeluruh dan bukan spekulasi semata-mata kerana implikasinya sangat besar kepada semua pihak," katanya.

Zulkifli (tengah) hadir pada Program Dialog Pemimpin Pelbagai Kaum di Kompleks Islam Putrajaya di sini. Foto Samadi Ahmad
Zulkifli (tengah) hadir pada Program Dialog Pemimpin Pelbagai Kaum di Kompleks Islam Putrajaya di sini. Foto Samadi Ahmad

Semalam, media melaporkan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil tindakan bersesuaian berhubung sedutan klip video yang dimuat naik oleh Aliff Syukri di media sosial.

Menurut Fahmi, beliau mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna media sosial yang meminta tindakan diambil berhubung sedutan klip video itu yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas usahawan kosmetik itu.

Laporan polis itu dibuat kelmarin, di Balai Polis Melaka Tengah susulan video klip lagu terbaharu hari raya usahawan itu yang tular di media sosial Facebook dan Instagram.

Dalam laporan polis itu, individu berkenaan menyatakan, video terbabit melanggar prinsip ke lima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan serta mengganggu gugat kesucian agama Islam pada Ramadan.

Semalam, melalui kenyataan, Aliff Syukri berkata, sebenarnya beliau tiada lagu baharu sempena hari raya tahun ini dan video itu hanyalah sebagai kejutan sempena 'April Fool'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 10:50 AM