Datuk Yahya Hussin
Datuk Yahya Hussin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) sentiasa bersedia untuk disiasat berhubung tuduhan salah guna kuasa wang zakat yang didakwa digunakan untuk membayar bonus kakitangannya.

Yang Dipertuanya, Datuk Yahya Hussin berkata, Muis terbuka terhadap sebarang proses siasatan pihak berkuasa sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ia untuk memastikan imej dan integriti Muis dalam urusan pentadbirannya kekal bersih tanpa ada sebarang unsur salah guna kuasa seperti yang didakwa," katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, tular dakwaan menyatakan ketua pegawai eksekutif Muis membuat arahan pembayaran bonus kakitangan dengan menggunakan Tabung Zakat tanpa proses kelulusan.

Turut disebarkan ialah tuduhan yang mendakwa ketua pegawai eksekutif Muis mengarahkan pemindahan wang Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) sebanyak RM14 juta, tanpa proses kelulusan.

Bagaimanapun, Muis menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah yang dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan imej badan Islam berkenaan.

Sementara itu, Yahya berkata bagi menjaga nama baik Muis, pihaknya mengambil tindakan balas dengan menghantar Surat Tuntutan Peguam kepada penyebar tuduhan terbabit, semalam.

"Muis antara lain menuntut suatu permohonan maaf secara terbuka kepada pihak Muis dalam tempoh 24 jam, yang mana sekiranya gagal dibuat, saman akan difailkan serta-merta terhadap penyebar tuduhan bagi menuntut keadilan," katanya.

Selain itu katanya, Muis juga membuat satu laporan polis pada 28 Mac lalu berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadap badan berkenaan.

Katanya, laporan polis itu dibuat supaya siasatan dijalankan kerana tuduhan yang dilemparkan ke atas Muis adalah tidak berasas dan fitnah semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 9:19 AM