FAHMI ketika hadir ke majlis berbuka puasa bersama media, turut kelihatan Rafiq (dua dari kiri) dan Ahmad Zaini (empat dari kiri).
FAHMI ketika hadir ke majlis berbuka puasa bersama media, turut kelihatan Rafiq (dua dari kiri) dan Ahmad Zaini (empat dari kiri).
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneliti klip video lagu hari raya yang dimuat naik usahawan, Datuk Aliff Syukri selepas mendapat kecaman orang ramai.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau juga ada menonton sebahagian video terbabit dan melihat komen daripada netizen yang meminta pihaknya mengambil tindakan.

Menurutnya, walaupun video itu difahamkan sudah dipadam tetapi beliau meminta MCMC untuk meneliti perkara ini.

"Jika MCMC mendapati ada keperluan untuk menjalankan siasatan, maka ia akan dilakukan," katanya ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Media Bersama Fahmi Fadzil di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Fahmi turut meminta pempengaruh media sosial supaya berhati-hati ketika membuat sesuatu kandungan dan mempertimbangkannya sama ada perlu dimuat naik ke media sosial atau tidak.

"Kita bimbang bagaimana kandungan media sosial ini boleh memberi kesan positif atau negatif, terutamanya kepada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

"Ini adalah isu besar. Nampaknya platform media sosial tidak mengambil tanggungjawab apabila mereka mempunyai kaedah pengesahan yang sangat kabur di mana sesiapa sahaja boleh berbohong mengenai umur mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan tiga pengendali media sosial dalam tempoh terdekat bagi membincang perkara itu.

"Khamis ini saya akan bertemu dengan pihak Telegram dan pada hari Isnin pula saya akan bertemu dengan Meta serta TikTok.

"Kita mungkin perlu membuat beberapa keputusan untuk memastikan platform media sosial selamat digunakan dan tidak akan digunakan oleh kanak-kanak di bawah 13 tahun," katanya.

Terdahulu Aliff memuat naik video di media sosial yang memaparkan sekumpulan lelaki menari yang menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat dan menerima kecaman.

Bagaimanapun, Aliff sudah memadamkan video itu semalam, sambil memberitahu bahawa video itu adalah jenaka April Fool.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 10:21 PM