YAHAYA meninjau bazar Ramadan Mahkota Square pada Program Pencegahan Jenayah Polis Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang
YAHAYA meninjau bazar Ramadan Mahkota Square pada Program Pencegahan Jenayah Polis Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Polis sudah merakamkan keterangan empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes serangan bom petrol di cawangan KK Mart di Sungai Isap, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata empat individu itu, termasuk pengadu dan saksi dalam kejadian terbabit.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka itu, pihaknya tidak dapat mengenal pasti jumlah suspek yang terbabit.

"Bagaimanapun, kita cuba untuk mendapatkan CCTV dari tempat lain yang ada merakamkan kejadian itu," katanya ketika ditemui media sempena Program Pencegahan Jenayah Polis Pahang di bazar Ramadan Mahkota Square, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mempertingkatkan rondaan di lokasi yang menempatkan semua cawangan kedai serbaneka terbabit di Pahang.

"Di Pahang, KK Mart mempunyai 15 cawangan KK Mart dan dua stor yang berada di Kuantan dan Bentong.

"Pihak KK Mart juga sudah menambahkan ciri keselamatan di premis mereka termasuk menambah CCTV seperti yang kita disarankan.

"Saya nasihatkan kepada semua tenang dan tidak mengambil tindakan sendiri," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sebuah lagi kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu di daerah ini, dilontar dengan 'molotov cocktail'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 8:56 PM