Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini mengesahkan tiada sebarang laporan penyakit anthrax di Malaysia ketika ini meskipun penyakit berkenaan sentiasa aktif di kebanyakan negara di merata benua.

Menerusi kenyataan hari ini, DVS memaklumkan Malaysia bebas daripada penyakit anthrax semenjak kes terakhir dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada 1976.

Penyakit anthrax ini disebabkan bakteria Bacillus anthracis dan merupakan penyakit zoonotik iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia dan boleh membawa maut.

"Penyakit ini boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui kontak langsung dengan spora yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus anthracis. Penyakit ini boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada haiwan ternakan," menurut kenyataan itu.

Menurut DVS antara tanda klinikal penyakit ini pada ternakan ialah kematian mengejut, demam yang tinggi, lemah, moyok, lesu, sukar bernafas, bengkak di kawasan jangkitan, terutamanya di kawasan leher, muntah dan cirit-birit.

"Dalam sesetengah kes, darah keluar dari hidung, mulut, atau dubur ternakan. Para penternak perlulah melaporkan segera kepada DVS sekiranya mengesan sebarang tanda tersebut," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, DVS memaklumkan pihaknya memandang serius wabak disyaki penyakit anthrax yang dilaporkan media berlaku di selatan wilayah Champasack, Laos, Selasa lepas.

Melalui perbincangan ASEAN EOC Network VC: Anthrax Outbreak in Laos hari ini, pihak berkuasa Laos mengesahkan bahawa tiada kes disahkan positif anthrax melalui ujian makmal pada manusia mahupun haiwan, menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, DVS memaklumkan pihaknya sentiasa menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan demi memastikan negara sentiasa bebas daripada anthrax.

Antara langkah pencegahan diambil adalah memaklumkan pihak berkuasa veterinar Thailand terhadap kebimbangan Malaysia ke atas wabak anthrax dan meminta agar pemeriksaan penyakit anthrax dikenakan ke atas semua ternakan Thailand masuk ke Malaysia.

Selain itu, DVS meneruskan aktiviti pemantauan klinikal ke atas ternakan ruminan di negara ini melalui Program Survelan Kebangsaan untuk mengesan penyakit anthrax seawal mungkin.

Garis panduan pemeriksaan penyakit anthrax turut disediakan kepada pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu-pintu masuk negara dan menyediakan risalah penyakit anthrax untuk edaran umum, menurut kenyataan itu.

DVS menasihati para penternak untuk meningkatkan tahap biosekuriti ladang terutamanya menjelang musim perayaan yang akan datang.

"Setiap ternakan baharu yang dibawa masuk ke ladang, perlu dipastikan tahap kesihatannya melalui pemeriksaan Pegawai Veterinar bertauliah dan permit pergerakan ternakan yang sah," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 7:24 PM