ANTARA ahli keluarga yang bergambar kenangan pada majlis pertemuan semula. FOTO Ihsan M.Rizal Sani
ANTARA ahli keluarga yang bergambar kenangan pada majlis pertemuan semula. FOTO Ihsan M.Rizal Sani
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Air dicincang tak akan putus dan begitu gambaran hubungan 200 ahli keluarga yang berkumpul dalam satu majlis pertemuan dan jejak kasih di dewan sebuah kondominium dekat Setapak, di sini, baru-baru ini.

Wakil penganjur, M.Rizal Sani, 46, berkata majlis itu julung kali diadakan dan menghimpunkan keluarga sebelah ibu dan bapanya yang datangnya daripada pelbagai negeri di sekitar Semenanjung.

Menurutnya, tempoh enam bulan diambil untuk melakukan persediaan sebelum menghimpunkan ahli keluarganya dalam majlis dengan carian menerusi laman sosial dan nombor sedia ada dalam simpanan.

Meskipun ada yang tinggal di luar ibu kota namun M.Rizal bersyukur kerana mereka sanggup meluangkan masa untuk berkumpul dengan membawa bersama seisi keluarga.

"Sebelum ini ada anjurkan perjumpaan namun secara berasingan iaitu sebelah emak saja atau ayah.

"Kali ini, kita himpunkan keluarga kedua belah pihak berasal dari Kuala Kubu Bharu dan Sungai Buloh Jeram.

"Mengikut perancangan awal nak kumpulkan sebelum tercetusnya Covid-19 lagi namun baru tahun ini Allah SWT izinkan kami berkumpul dalam satu majlis pertemuan yang sangat indah.

"Sedih bercampur gembira apabila ramai beri komitmen dengan hadir walaupun sebahagiannya tinggal di utara, timur dan selatan tanah air," katanya ketika dihubungi.

M.Rizal berkata, dalam majlis pertemuan itu, generasi muda dapat mengenali moyang, datuk saudara, abang dan kakak saudara serta sepupu manakala yang berusia berpeluang melihat anak cucu cicit.

Katanya, ia menjadikan majlis itu sebagai jambatan untuk semua yang hadir saling mengenali satu sama lain atau berjumpa selepas puluhan tahun terpisah seiring matlamat asal penganjuran.

Lebih menarik, mereka yang hadir datang daripada pelbagai jenis kerjaya dan latar belakang.

"Waktu jumpa tempoh hari, baru kita tahu ada ahli keluarga kita sudah bergelar doktor, jurutera, akauntan, guru, ketua pegawai eksekutif (CEO) bank dan ahli perniagaan perkapalan.

"Tidak ketinggalan ada juga pelakon, penerbit dan pengarah, usahawan makanan, juru ukur malah pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bomba.

"Seronok rasanya mendengar cerita mereka dan ahli keluarga tertua yang hadir sudah berusia 87 tahun manakala paling muda berumur dua tahun," katanya.

M.Rizal berkata, selain jejak kasih, terdapat pengisian lain sepanjang pertemuan itu antaranya majlis tahlil, bacaan Yasin dan solat berjemaah.

"Selebihnya adalah sesi suai kenal dan berinteraksi antara keluarga serta mengambil gambar kenangan.

"Diharap, majlis seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan lebih ramai yang hadir tanpa perlu menunggu nak raya untuk berkumpul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 6:23 PM