TAN Sri Azam Baki. FOTO Aswadi Alias
TAN Sri Azam Baki. FOTO Aswadi Alias
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menitahkan bahawa memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara adalah antara tumpuan utama dalam pemerintahan baginda.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, titah Seri Paduka Baginda ini melambangkan ketegasan Baginda memerangi ancaman rasuah malah perlu dijunjung oleh setiap lapisan masyarakat kerana rakyat yang bebas rasuah merupakan kayu pengukur dan teras kepada keutuhan serta kestabilan negara.

Menurutnya, sehubungan itu, sebagai agensi penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Seri Paduka Baginda dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab terbabit dengan penuh integriti.

"SPRM juga berharap supaya semua rakyat Malaysia, khususnya keseluruhan jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM dalam menjunjung dan melaksanakan titah Seri Paduka Baginda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 5:53 PM