ARMIZAN (tengah) melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024. FOTO Azrul Edham
ARMIZAN (tengah) melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Nilai: Penyenaraian hanya 22 jenis barangan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 adalah berdasarkan barangan terbabit yang dikhuatiri boleh dinaikkan harga secara melampau berbanding ayam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ini adalah hasil daripada pemantauan oleh pihak penguat kuasa kementerian dan kerjasama daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Hasil pemantauan ini kita lihat harga ayam di pasaran adalah terkawal dan stabil, begitu juga dari segi bekalan ayam ia mencukupi dan sebab itu kita tidak masukkan ayam dalam senarai skim ini.

"Malah, ada ketikanya harga ayam lebih rendah daripada harga ketika kita melaksanakan harga maksimum di mana ada peniaga yang menjual ayam serendah RM6.80 sekilogram," katanya pada sidang media ketika mengumumkan SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2024, di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, orang ramai boleh membuat aduan kepada kementerian sekiranya mendapati ada peniaga menjual ayam pada harga tidak munasabah.

"Dengan maklumat itu boleh membantu kita dari segi lokasinya, untuk mengambil tindakan," katanya.

Katanya, kerajaan tidak boleh menawarkan semua barangan dalam skim terbabit kerana negara ini mengamalkan sistem pasaran bebas dan barangan yang dipilih dalam skim ini dikhuatiri boleh dinaikkan sesuka hati oleh peniaga.

Justeru itu, beliau berharap orang ramai dapat melaksanakan hak memilih sebaik mungkin dengan membuat perbandingan harga.

"Sebahagian harga barangan kita dipengaruhi oleh pasaran dan kita seharusnya membuat perbandingan sebelum membuat pembelian," katanya.

Mengenai Ops Pantau di bazar Ramadan, Armizan berkata, pihaknya sudah memeriksa sebanyak 32,348 premis selain menerima sebanyak 1,030 aduan dalam operasi yang dilaksanakan sejak 12 Mac lalu sehingga semalam.

Beliau berkata, selain itu sebanyak 146 kes telah dibuka dengan nilai kompaun yang dikeluarkan membabitkan jumlah sebanyak RM19,100.

"Kesalahan yang dilakukan adalah pelbagai termasuk berkaitan Akta Perihal Dagangan, tidak meletakkan tanda harga dan penyalahgunaan alat timbang di bawah Akta Timbang dan Sukat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 4:53 PM