GAMBAR pasport Shalom Avitan seperti yang dilaporkan media Israel The Times Of Israel.
GAMBAR pasport Shalom Avitan seperti yang dilaporkan media Israel The Times Of Israel.
Nor Azizah Mokhtar


Pelabuhan Klang: Lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di ibu negara bersama enam pistol dan 200 peluru pada Rabu lalu, masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis yang tulen.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan beliau menegaskan tidak timbul sebarang isu dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk negara kerana lelaki itu menggunakan pasport tulen.

Menurutnya, semakan mendapati pasport Perancis milik suspek dikeluarkan oleh kedutaan Perancis di Tel Aviv dan pasport itu sah.

"Senarionya seperti jika saya tinggal di Australia, pejabat (kedutaan Malaysia) yang mengeluarkan pasport akan berada di Melbourne. Maka saya adalah warganegara Malaysia tetapi pasport saya dikeluarkan di Australia. Begitu juga dengan lelaki Israel itu.

"Dari perspektif sistem imigresen dan undang-undang imigresen kita, jika dokumen perjalanan itu sah dan kita tiada masalah dengan negara mengeluarkan dokumen perjalanan dan dia tiada salam senarai hitam, kita benarkan kemasukan," katanya.

Beliau berkata demikian sidang media ketika melakukan tinjauan Op Khas Pagar Laut Maritim Malaysia menggunakan Kapal Matitim (KM) Tun Fatimah di sekitar perairan maritim Selangor bermula dari Jeti Pusat Hidrografi Nasional di sini, hari ini.

Justeru, Saifuddin menyeru orang ramai memberi keyakinan penuh terhadap siasatan polis yang dijalankan.

"Saya mohon rakyat memberikan keyakinan terhadap tahap profesionalisme polis dalam menjalankan siasatan.

"Saya juga sudah diberi taklimat mengenai perkembangan dari semasa ke semasa (berhubung siasatan) dan pencapaian mereka adalah membanggakan setakat ini," katanya.

Saifuddin berkata kes membabitkan lelaki Israel itu juga menunjukkan kepentingan dasar ketegasan negara yang tidak membenarkan pemilikan dwi-kewarganegaraan.

"Suspek menggunakan pasport Perancis yang sah dan ada kemungkinan dia warga Israel yang memegang pasport Perancis.

"Sebab itu semasa perbahasan mengenai pindaan perlembagaan mengenai dua kerakyatan, kita tidak mengiktirafnya. Sekarang anda nampak kenapa kami tegas mengenainya," katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai ancaman terhadap rakyat Palestin yang berada di negara ini, Saifuddin memberi jaminan bahawa menjadi tugas polis untuk menjaga keselamatan orang ramai di negara tanpa mengira kewarganegaraan mereka.

"Semua nyawa adalah penting, tanpa mengira bangsa mereka. Tanggungjawab polis adalah menjaga keselamatan dan ketenteraman orang ramai. Itu jaminan kami.

"Jika rakyat Palestin yang tinggal di negara ini ada alasan kukuh bahawa keselamatan mereka terancam, sudah tentu pihak polis akan memberi perhatian terhadap perkara itu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis

.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru dalam beg miliknya.

Siasatan mendapati kesemua senjata berkenaan dibeli suspek dikenali sebagai Shalom Avitan sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Razarudin turut dilaporkan berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaannya itu.

Pihak polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai agenda lain datang ke negara ini.

Susulan itu, polis dilaporkan turut menahan tiga warga tempatan termasuk pasangan suami isteri disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 10:08 PM