LOKASI kemalangan yang mengorbankan dua penuntut Malaysia manakala tiga lagi cedera dalam kejadian di  Lake Tekapo, New Zealand. FOTO Agensi
LOKASI kemalangan yang mengorbankan dua penuntut Malaysia manakala tiga lagi cedera dalam kejadian di Lake Tekapo, New Zealand. FOTO Agensi
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Bapa kepada Nur Firas Wafiyyah Mohd Nazir, seorang daripada tiga penuntut Malaysia yang cedera dalam nahas jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand, lega apabila dapat melihat keadaan anaknya itu, hari ini.

Meskipun hanya menerusi panggilan video, Mohd Nazir Mat Zain, 50, berkata melihat Nur Firas tersenyum sudah cukup untuk menenangkan hatinya yang resah kerana tidak dapat berhubung dengan anaknya itu sejak hari kejadian, Sabtu lalu.

Menurutnya, anak sulung daripada lima beradik itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tulang bahu, dada dan pinggul masih menerima rawatan di hospital.

"Saya memang terkejut menerima panggilan beritahu anak terbabit kemalangan dan keadaannya kritikal.

"Tak dapat gambarkan perasaan saya dan isteri sangat panik ketika itu.

"Kami tak sangka anak kemalangan sebab sebelum kejadian, kami ada berbalas WhatsApp dan Firas ada hantar gambar dia bersama rakan dalam perjalanan ke Lake Tekapo.

"Anak duduk di bahagian penumpang belakang bersama rakan baiknya, Wan Nur Adlina Alisa Wan Zainal Adileen yang meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Nazir berkata, dia dan isteri dijadualkan berangkat ke New Zealand, pada jam 11.30 pagi esok.

Ditanya sama ada keluarga ingin membawa Nur Firas yang juga penuntut University of Canterbury pulang ke Malaysia, katanya, dia mahu melihat keadaan anaknya itu terlebih dahulu dan mendapatkan nasihat pihak hospital serta konsular sebelum membuat keputusan.

"Saya belum jelas mengenai kecederaan Firas tapi saya ada bercakap dengan doktor yang merawatnya dimaklumkan dia tak boleh duduk disebabkan patah atau retak tulang pinggul.

"Jadi, saya akan berbincang sama ada boleh bawa Firas balik atau teruskan rawatan di sana, mana yang terbaik," katanya.

Pada Sabtu, media tempatan New Zealand melaporkan insiden kemalangan membabitkan dua kenderaan dan sebuah motosikal berlaku di State Highway 8 berhampiran Lake Pukaki.

Dalam kejadian itu, selain Wan Nur Adlina Alisa, seorang lagi pelajar daripada universiti sama turut maut iaitu Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 4:27 PM