Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Asrol Awang


Kuantan: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa berhubung laporan sebuah portal berita bertajuk 'Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan Pas'.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Datuk Yahya berkata, laporan bertarikh 22 Mac lalu bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana tidak harmoni di dalam masyarakat.

"Paduka Baginda menegaskan titah baginda ketika sesi Taklimat Pembangunan Daerah Maran di Akademi Tani Chenor, Maran itu tidak seperti apa yang dilaporkan oleh portal berita berkenan.

"Kenyataan Paduka Baginda itu tidak ditujukan kepada mana-mana parti politik dan bersifat secara umum.

"Ianya memberi maksud mengingatkan supaya masjid yang merupakan tempat ibadat buat umat Islam sentiasa dipelihara kesuciannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, baginda juga mengingatkan semua pengamal media sama ada media cetak atau media elektronik agar meneliti dan memperhalusi setiap berita sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar dari maksud sebenar.

"Etika kewartawanan perlulah dipatuhi pada setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 3:28 PM