Oleh Mohd Nasaruddin Parzi


Petaling Jaya: Proses kemas kini Pangkalan Data Utama (PADU) akan berjalan secara berterusan biarpun tempoh pendaftarannya ditutup mulai tengah malam ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, proses kemas kini seterusnya bagaimanapun tidak semudah seperti sebelumnya, memandangkan mereka yang masih belum mendaftar untuk kali pertama, perlu membuat kemas kini maklumat awal yang diperlukan di PADU.

Beliau berkata, profil setiap rakyat sebenarnya sudah tersedia dalam PADU, namun kerajaan memerlukan ia dikemas kini terutama maklumat berkaitan status pekerjaan, pendapatan, jumlah tanggungan serta alamat kediaman.

"Kepada yang tidak mendaftar dalam sistem PADU, maklumat asal demografi mereka sudah pun ada. Misalnya data pendaftaran negara. Setiap warganegara, mereka ada mendaftar untuk dapatkan kad pengenalan. Maklumat jantina sama ada lelaki atau perempuan. Cuma maklumat tempat kediaman mungkin berbeza. Data asas itu sudah ada, cuma kita perlukan data dinamik.

"Maklumat lain (yang sudah tersedia di PADU), contohnya jika mereka ada majikan, kita sudah ambil (datanya) dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kita sudah ambil maklumat itu (untuk dimuatkan dalam PADU)," katanya pada sidang media pada Program Pendaftaran PADU di Flat Sri Aman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tempoh akhir pendaftaran PADU diperlukan bagi membolehkan data individu yang sudah mendaftar dan selesai dikemaskini itu, dianalisis bagi tujuan merangka bentuk inisiatif dan bantuan yang akan diumumkan kerajaan kelak.

"Kita perlukan satu titik 'deadline' untuk kita mulakan proses analisis, untuk kita merangka dan mencadangkan program bantuan yang perlu dilaksana untuk pertimbangan oleh kerajaan. Bagi mereka yang tidak mengemaskini atau yang mungkin ada kesilapan ketika melakukan kemas kini, akan diberi peluang pada masa akan datang.

"Kemas kini berkala (dalam PADU) ini adalah salah satu ciri kepada 'real-time data (RTD)' dan ia tidak berbentuk sekali saja. Jangan bimbang, maklumkan dulu apa status sekarang. Selepas ini, ada perubahan, akan dibuka lagi untuk pengemaskinian, untuk kita pastikan data yang terkini.

"Data PADU ketika ini (selepas ditutup tengah malam ini) adalah berpandu kepada data dari tempoh semasa yang sudah ditutup dan akan ada fleksibili (untuk mengemaskini) diberi selepas ini," katanya.

Beliau berkata, rekod menghampiri 50 peratus bagi pendaftaran PADU pada hari terakhirnya hari ini, sudah menyaksikan pencapaian yang baik, khususnya untuk kerajaan merangka bentuk bantuan mengikut segmen yang ditetapkan selepas ini.

"Seperti kita sudah lihat, memang sukar kita dapat 100 peratus. Jadi sasaran kita yang sudah dimaklumkan sebelum ini adalah 50 peratus, itu adalah pencapaian yang baik. Memberikan perkara baru kepada orang ramai terutama pengemaskinian data, bagi melihat keputusan yang segera, itu bukan perkara mudah.

"Rasionalisi (subsidi) dan bantuan (disalurkan kerajaan) akan ditentukan berdasarkan penelitian dalam Padu dan pastinya selepas kita melaksana program bantuan yang akan dilaksana nanti, mungkin proses berikutnya akan lebih mudah," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata rekod pendaftaran hari terakhir menyaksikan peningkatan memberangsangkan apabila sejumlah 10.8 juta rakyat sudah mendaftar dan mengemaskini maklumat mereka dalam PADU setakat jam 12 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 2:09 PM
 Ketua Perangkawan Malaysia (DOSM) Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan hadir sama Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri (dua kanan) beramah mesra dengan penduduk yang mendaftar Padu pada Program Pendaftaran Padu di Flat Sri Aman, Petaling Jaya. FOTO ASWADI ALIAS
Ketua Perangkawan Malaysia (DOSM) Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan hadir sama Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri (dua kanan) beramah mesra dengan penduduk yang mendaftar Padu pada Program Pendaftaran Padu di Flat Sri Aman, Petaling Jaya. FOTO ASWADI ALIAS