AL-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Arkib NSTP
AL-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan kejadian serangan bom petrol membabitkan cawangan KK Mart di Sungai Isap, di sini hari ini.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata baginda menerima sembah maklum oleh Polis Pahang mengenai kejadian itu dan menitahkan supaya ia diberi perhatian serius serta tindakan tegas dan segera dalam perkara itu.

"Paduka baginda mengecam sekeras-kerasnya dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang serta kepercayaan agama yang sentiasa menitikberatkan keamanan dan kemakmuran.

"Paduka baginda menyeru seluruh rakyat, khususnya rakyat Pahang, supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif perkauman yang boleh mengganggu-gugat keharmonian yang dinikmati selama ini.

"Semua pihak perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak melampaui batas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, baginda turut mengingatkan rakyat supaya menghormati proses undang-undang yang telah diambil oleh kerajaan berhubung dengan kes penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah.

"Sehubungan itu, bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini, baginda menyeru semua rakyat supaya berdoa Negeri Pahang dan Negara Malaysia sentiasa diberkati dan dirahmati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 11:02 PM