Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyampaikan sumbangan kepada 70 pelajar tahfiz pada Majlis Iftar Ramadan bersama UMNO Bahagian Lumut di Maahad Tahfiz Bayt Al Ikhlas, Kampung Padang Tembak, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyampaikan sumbangan kepada 70 pelajar tahfiz pada Majlis Iftar Ramadan bersama UMNO Bahagian Lumut di Maahad Tahfiz Bayt Al Ikhlas, Kampung Padang Tembak, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menghulurkan bantuan berkaitan keperluan membawa pulang jenazah dua pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lengkap dan menanti maklum balas daripada Kementerian Luar Negeri.

"Pihak kementerian (KPT) akan membantu perkara berkaitan keperluan bagi memastikan supaya proses termasuk proses penghantaran (berjalan lancar).

"Bagaimanapun, kita menyerahkan kepada keluarga terlebih dahulu. Perbincangan perlu diadakan dengan keluarga terbabit bagaimana pengurusan jenazah dilakukan.

"Kebiasaannya urusan ini akan dilakukan oleh pihak Wisma Putra," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama UMNO Bahagian Lumut di Maahad Tahfiz Bayt Al Ikhlas, Kampung Padang Tembak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bantuan sama turut disalurkan kepada tiga lagi pelajar Malaysia yang cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand.

Terdahulu, Kementerian Luar mengesahkan kematian mangsa akibat nahas membabitkan dua kenderaan dan sebuah motosikal, berlaku di State Highway 8 berhampiran Tasik Pukaki pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan semalam.

Pelajar yang meninggal dunia dalam nahas itu dikenali sebagai Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa, kedua-duanya adalah penuntut University of Canterbury.

Tiga pelajar yang cedera pula membabitkan dua penuntut universiti sama iaitu Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, selain Muhamad Faris Mohd Fairusham daripada Victoria University Wellington.

Pada majlis itu, Zambry menyerahkan sumbangan kepad 70 pelajar tahfiz, 25 masjid dan 23 surau sekitar daerah Manjung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 9:25 PM