ALFISHAHRIN dan isteri ketika tiba di Qatar. FOTO Ihsan Mohd Alfishahrin Zakaria
ALFISHAHRIN dan isteri ketika tiba di Qatar. FOTO Ihsan Mohd Alfishahrin Zakaria
Lizam Ridzuan

Kisahnya yang sering mengembara keluar negara dengan menunggang motosikal adalah suatu perjalanan yang unik kerana hanya menggunakan jenis cub atau kapcai berkuasa 150cc.

Mohd Alfishahrin Zakaria, 38, dan isteri, Diana Latief, 37, mengembara menggunakan jalan darat pernah ke London pada 2017, Rusia (2018) dan kali ini ke Qatar dan berpeluang menyambut Ramadan di sana.

Perjalanan terbaharu mereka dimulakan pada hujung tahun lalu dari Pakistan bagi tujuan menonton Kejohanan Bolasepak Piala Asia 2023 di Qatar.

Selepas tiba di sana Mohd Alfishahrin sempat menyaksikan beberapa perlawanan antaranya Malaysia bertemu Korea, Qatar dan Palestine serta perlawanan akhir tuan rumah Qatar bertemu Jordan.

Oleh kerana Ramadan ketika itu hampir tiba maka dia dan isteri memutuskan untuk terus berada di sana bagi merasai pengalaman berpuasa di luar negara.

Di Qatar sudah pasti suasana Ramadan agak berbeza dengan di Malaysia dan salah satunya faktor kemeriahan ialah jenis makanan.

"Waktu berbuka di Qatar ialah jam 5.30 petang dan di sini tiada bazar yang khusus menjual juadah Ramadan namun banyak pihak membuat sumbangan menyediakan juadah berbuka," katanya.

Menurutnya lagi kebanyakan pekerja-pekerja asing dari Bangladesh, Pakistan dan India sentiasa meramaikan majlis berbuka puasa percuma yang disediakan pihak Qatar Charity Fund di masjid-masjid.

Makanan yang disediakan adalah seperti nasi Arab dengan lauk ayam, daging dan kambing menjadi hidangan utama ketika berbuka.

"Ketika awal Ramadan lalu suhu pada sekitar 20 hingga 28 darjah Celsius agak sejuk namun kini keadaan semakin panas pada sekitar 30 darjah Celsius dan sebenarnya Malaysia lebih panas berbanding di Qatar.

"Kami juga bertemu dengan rakyat Malaysia di sini yang tahu akan kedatangan kami dan menjemput berbuka puasa bersama di rumah mereka. Kebiasaannya kami akan melakukan pot luck dengan memasak makanan sendiri bagi merasai juadah tempatan di negara orang," katanya.

MOHD Alfishahrin menggunakan motosikal jenis cub atau kapcai berkuasa 150cc. FOTO Ihsan Mohd Alfishahrin Zakaria
MOHD Alfishahrin menggunakan motosikal jenis cub atau kapcai berkuasa 150cc. FOTO Ihsan Mohd Alfishahrin Zakaria

Hidangan seperti cendol, cincau bandung dan pelbagai lagi juadah dibuat sendiri (home made) oleh rakan-rakan Malaysia yang bertugas di sana dan untuk makanan pula terdapat pelbagai juadah dari negeri seperti Kelantan menjadikan suasana berbuka puasa tambah menarik.

Kebanyakan majlis berbuka puasa ini dianjurkan sahabat-sahabat usrah rakyat Malaysia di sana, selain rakan tempat kerja bagi merapatkan ukhuwah dan persahabatan di perantauan.

Selain itu sudah pasti solat sunat Tarawih antara peluang yang tidak dilepaskan Mohd Alfishahrin yang sering ke masjid berhampiran kawasan tempat tinggalnya di Souq Wakif.

Suasana Tarawih di sana juga seperti di Malaysia sangat meriah dan ada yang mengerjakan solat Tarawih lapan atau 20 rakaat bergantung kepada masjid di sana.

Pada malam ke-14 Ramadan, terdapat satu sambutan yang dinamakan 'Garangao' yang sering diadakan di negara-negara Arab khususnya Qatar iaitu sebagai menghargai kanak-kanak yang berpuasa sehingga ke pertengahan Ramadan.

MOHD Alfishahrin selesai solat Tarawih di Qatar. FOTO Ihsan Mohd Alfishahrin Zakaria
MOHD Alfishahrin selesai solat Tarawih di Qatar. FOTO Ihsan Mohd Alfishahrin Zakaria

Mereka akan mengenakan pakaian tradisional dalam kawasan kejiranan dan akan berjalan dari rumah ke rumah mengetuk pintu dan kemudian akan diberikan kacang, coklat serta gula-gula yang diletakkan di dalam beg khas digantung pada leher mereka sambil menyanyikan lagu khas Garangao.

Ketika di Qatar juga pasangan itu sempat ke Oman untuk menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia Malaysia menentang Oman dan ia juga satu pengalaman menarik yang berlaku ketika Ramadan.

"Dari Qatar saya memandu ke Dammam di Arab Saudi dan dari sana kami menaiki kapal terbang ke Muscat, Oman serta memutuskan untuk tidak menunggang motosikal bagi tujuan itu, namun akan melakukannya pada pertengahan April dari Qatar ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah," katanya yang juga bekas pekerja institusi perbankan tempatan.

Ketika di Qatar, Mohd Alfishahrin juga menunggang motosikal untuk melawat di beberapa lokasi yang menarik ketika Ramadan dan oleh kerana cuaca tidak begitu panas maka ia tidak terlalu memenatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 7:05 AM