Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada semua pihak supaya menghormati undang-undang dan tidak mengambil tindakan sendiri berhubung isu kaum, agama dan raja (3R).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata demikian susulan serangan molotov koktel ke arah sebuah cawangan kedai serbaneka KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd di Bidor, Perak pada 26 Mac lalu.

"Apabila laporan dibuat kita akan siasat, semua laporan kita akan siasat dan sekiranya jatuh (berlaku kesalahan) dalam mana-mana akta kita akan siasat.

"Jadi beri peluang kepada kita untuk siasat, kita yang akan menentukan (ada kesalahan atau tidak) jadi tidak perlu lagi ada yang tak puas hati sampai baling molotov koktel pada KK Super Mart," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai upacara pemakaian pangkat dan menyaksikan upacara serah terima tugas membabitkan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Razarudin berkata, orang ramai tidak perlu gusar kerana setiap laporan berhubung isu 3R yang diterima PDRM akan disiasat secara menyeluruh dan telus.

Katanya, hak untuk menentukan betul atau salah itu sudah termaktub di dalam undang-undang dan dalam bidang kuasa PDRM untuk menyiasat setiap perkara yang dilaporkan bagi.

"Kes ini sudah selesai, tak perlu besarkan isu ini. Kita pantau isu di media sosial yang boleh membangkitkan amarah antara kaum atau agama.

"Kita memang pantau di setiap media sosial jadi saya nasihatkan tiada lagi isu ini (3R) dimainkan," katanya.

Terdahulu media melaporkan cawangan KK Super Mart di Bidor diserang individu tidak dikenali menggunakan bom petrol, molotov koktel.

Molotov koktel itu bagaimanapun dilapor gagal meletup dan jatuh di kawasan lapang di hadapan premis terbabit dan.

Pada 13 Mac, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah 'Allah' dijual di KK Super Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 11:44 AM
RAZARUDIN (tengah) menyaksikan pertukaran tongkat kuasa antara Allaudeen (kiri) dan Rusdi ketika Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur dan Pengerusi Perkep Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
RAZARUDIN (tengah) menyaksikan pertukaran tongkat kuasa antara Allaudeen (kiri) dan Rusdi ketika Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur dan Pengerusi Perkep Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali