LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Ipoh: Siasatan awal pihak polis mendapati bom petrol yang dilempar ke sebuah kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, dekat Bidor dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang menaiki kereta awal pagi hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu mendapati, sebuah kereta berwarna gelap yang mempunyai pelekat warna merah 'Lalamove', berhenti di tepi jalan kira-kira 5.35 pagi.

"Satu lelaki (suspek) turun daripada kereta dan membaling sesuatu dipercayai botol kaca berisi minyak tanah ke dalam kedai, lalu terus beredar dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Yusri dilaporkan berkata kejadian disedari oleh kakitangan kedai serbaneka terbabit dan polis menerima laporan daripada pengadu yang juga wanita warga tempatan, berhubung kejadian pada pukul 8.49 pagi.

Pengadu berusia 20 tahun ketika sedang bekerja memaklumkan, mendengar bunyi botol pecah di hadapan premis dan terus keluar memeriksa keadaan.

Terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai dan pengadu juga terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca yang pecah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi pegawai penyiasat, Inspektor Norseha Baharudin di talian 0177964459.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 10:01 PM