SPRM menahan reman seorang pegawai kanan dan seorang anggota polis dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti haram sekitar Kuala Lumpur. FOTO SPRM
SPRM menahan reman seorang pegawai kanan dan seorang anggota polis dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti haram sekitar Kuala Lumpur. FOTO SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai kanan dan seorang anggota polis dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti haram sekitar Kuala Lumpur.

Perintah reman selama tiga hari iaitu sehingga esok dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Farhana Mohd Najib ke atas suspek utama, manakala suspek kedua direman selama satu hari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

Menurut sumber, suspek utama iaitu lelaki berusia 40-an disyaki menerima suapan antara tahun 2021 hingga 2024 daripada sindiket dalam bentuk tunai sebagai balasan melindungi aktiviti haram membabitkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur,

"Hasil penahanan ke atas suspek, SPRM turut menemui sejumlah wang bernilai lebih RM1.2 juta hasil serbuan di beberapa premis milik suspek.

"Suspek utama ditahan di Putrajaya kelmarin, manakala suspek kedua yang juga anggota bawahannya ditahan pada hari yang sama di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenalpasti dalang lain yang terbabit.

Harian Metro semalam melaporkan seorang pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ditahan SPRM selepas dipercayai terbabit melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.

Penahanan pegawai kanan yang bertugas di sebuah jabatan itu dilakukan di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 2:47 PM