Mohamad Hasan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada penduduk di Masjid Kariah Kampung Seliau Rantau, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Mohamad Hasan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada penduduk di Masjid Kariah Kampung Seliau Rantau, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Malaysia sudah menyuarakan ketegasan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan keganasan yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin dan mahu gencatan senjata di Gaza dilaksanakan serta-merta.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun pihaknya kesal kerana Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal membuat resolusi untuk mengadakan genjatan senjata berkenaan.

"Saya kesal dan kecewa kerana Majlis Keselamatan PBB gagal untuk membuat resolusi bagi mengadakan genjatan senjata di Gaza supaya rakyat Palestin dapat kembali ke tanah air mereka.

"Ini percubaan kesembilan membawa resolusi itu dalam masa dua bulan dan saya juga pernah ke PBB sebelum ini bagi membawa suara Malaysia dalam isu Palestin.

"Dua hari lepas, resolusi itu dicadangkan oleh Amerika Syarikat tetapi ditolak oleh Rusia dan sebuah negara lain yang tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Ramadan di Masjid Kariah Kampung Seliau Rantau, dekat sini, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, penolakan negara terbabit terhadap resolusi itu dikatakan disebabkan beberapa perkara yang tidak menyentuh secara menyeluruh terutama berkaitan orang tahanan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan Amerika Syarikat mengambil kesempatan menggelarkan Hamas sebagai pengganas sedangkan mereka berjuang kerana hendak bebaskan tanah air daripada cengkaman Israel.

"Majlis Keselamatan (PBB) akan buat lagi (resolusi) dan kita (Malaysia) akan terus bawa suara yang tegas supaya sekurang-kurangnya hentikan dulu pembunuhan ini, itu yang kita hendak, perkara lain yang berkaitan itu cerita lain.

"Pembunuhan kejam yang tidak berperikemanusiaan babitkan kanak-kanak, wanita, masjid dibom, gereja dibom, hospital dibom dan sekarang orang Palestin yang dikumpulkan di Rafah lebih 1.5 juta juga dibom.

"Malah, orang Palestin yang kelaparan dan menerima bantuan daripada udara juga disekat dan ditembak," katanya.

Mohamad berkata, tindakan Israel sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan serta tidak boleh diterima komuniti global.

Menurutnya, sepatutnya apa saja perjanjian perdamaian yang diputuskan selepas resolusi itu diluluskan adalah perkara kedua.

"Perkara pertama yang kita hendak lihat adalah menghentikan dulu pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 3:16 PM