Pengamal media hadir Program Pendaftaran dan Mengemaskini PADU bersama Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) di Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengamal media hadir Program Pendaftaran dan Mengemaskini PADU bersama Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) di Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Sehingga kini seramai 484,639 atau 38.8 peratus daripada 1.2 juta rakyat Kelantan sudah mengemas kini Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) bermula 2 Januari sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, setakat ini di negeri Pantai Timur, Kelantan adalah negeri yang tertinggi yang sudah mendaftar serta mengemas kini data Padu.

Katanya, bermula peluncuran Padu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sudah mula mengambil tindakan proaktif dengan membuka kaunter pendaftaran di Pejabat Perangkaan Negeri selain di beberapa lokasi terpilih.

"Kami turut menjalinkan kerjasama dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di seluruh Kelantan dan pada masa sama pegawai Jabatan Perangkaan Negeri ditempatkan di situ untuk memudahkan masyarakat terutamanya orang kampung bagi mendaftar dan mengemas kini Padu.

"Manakala dari segi kemudahan internet pula, pejabat penerangan daerah di seluruh negeri menyediakan kemudahan berkenaan untuk membantu orang ramai melakukan pengemaskinian Padu masing-masing pada setiap hari waktu bekerja," katanya selepas Program Pendaftaran dan Mengemaskini Padu bersama Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) di Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhd Nor Aswadi berkata, secara umumnya masyarakat mengetahui mengenai Padu, namun timbul beberapa persoalan misalnya mengenai isu keselamatan maklumat diri.

"Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kerahsiaan keselamatan maklumat mereka kerana ia terjamin disebabkan Padu diselenggara oleh pegawai kerajaan yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

"Selain itu, sistem yang digunakan ini mengguna pakai sistem yang dikelolakan oleh pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), CyberSecurity dan beberapa agensi kerajaan dari untuk menjamin keselamatan data pengguna.

"Kita ada masa sebelum 31 Mac dan saya menyeru kepada semua penduduk di Kelantan yang belum mengemas kini PADU supaya berbuat demikian dengan segera supaya tidak tercicir daripada mendapatkan segala bentuk bantuan yang diberikan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 1:07 PM