DR Muhamad Akmal. FOTO Danial Saad
DR Muhamad Akmal. FOTO Danial Saad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh akan mengusulkan agar keahlian seorang pemimpin Pemuda Bahagian Mersing digantung serta-merta selepas terbabit dalam kes liwat.

Katanya, beliau akan mengusulkan perkara itu pada mesyuarat pengurusan Umno yang dijangka dibuat sebelum Aidilfitri.

"Saya sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia akan bawa usul ini agar dia digantung serta-merta, jadi bergantung kepada keputusan (mesyuarat) pengurusan.

"Saya amat tegas, kita tidak berkompromi mana-mana tindakan jenayah. Kalau terbukti bersalah, maka kita minta dia bukan sahaja dihukum tapi hukuman yang keras perlu diberikan kepadanya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Majlis Kerja Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima lima laporan berhubung kes liwat membabitkan seorang lelaki yang dipercayai pemimpin sayap pemuda sebuah parti politik di daerah Mersing.

Abdul Razak dilapor berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan polis membabitkan enam mangsa.

Mengulas mengenai isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah oleh KK Super Mart, Dr Muhamad Akmal menyeru agar boikot ini dilakukan secara berterusan sehinggalah kekecewaan semua pihak terubat.

"Tapi saya rasa susahlah nak terubat. Jadi, saya sarankan kepada KK Super Mart, mungkin boleh cari perniagaan lain.

"Ini disebabkan boikot hari ini memang kita akan lancar betul-betul. Biarlah ia betul-betul dirasai oleh setiap lapisan masyarakat dalam Malaysia ini dan memberikan pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba bermain dengan isu 3R (raja, kaum, agama)," katanya.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka juga menyatakan apa yang dibawakan olehnya adalah hasrat semua rakyat Malaysia.

"Saya percaya ini adalah hasrat semua rakyat Malaysia. Pemuda Umno akan tegas dan lantang bersuara. Saya nak beritahu saya tak ada tauke, Pemuda Umno tak ada tauke nak dijaga.

"Mungkin menteri-menteri, pemimpin DAP dan MCA ada tauke yang nak perlu dijaga (tetapi) saya tak ada dan saya tak pernah kisah pun pasal tauke-tauke ini.

"Jadi kita akan terus lawan dan akan pastikan isu 3R ini tidak berulang. Kalau ada, kita akan kenakan lagi tindakan lebih keras daripada apa yang kita buat hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 10:13 PM