KEBAKARAN hutan di tepi jalan raya Tuaran-Kota Belud. FOTO Bernama
KEBAKARAN hutan di tepi jalan raya Tuaran-Kota Belud. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berjaya memadamkan kebakaran terbuka kawasan seluas 1,721.29 hektar dari Januari lalu hingga semalam.

Pengarahnya Abdul Razak Muda berkata, JBPM Sabah ketika ini berusaha memadamkan 62.56 hektar kawasan yang masih terbakar, dengan kebanyakannya di kawasan pantai barat negeri itu.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga bomba menerima 1,011 laporan kebakaran terbuka dengan kejadian tertinggi membabitkan kebakaran belukar dan lalang iaitu 580 kes diikuti kebakaran hutan (368 kes), kebakaran kebun dan ladang (59 kes) dan kebakaran tanah gambut (empat kes).

Katanya, Tuaran menjadi kawasan paling banyak laporan kebakaran terbuka dengan 220 kejadian diikuti Kota Belud (140), Kota Kinabalu (95), Lintas (82), Penampang (63) manakala Kimanis dan Kuala Penyu masing-masing 58 laporan.

"JBPM Sabah menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama ketika musim kemarau dan cuaca panas ini. Mereka yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, sebagai usaha pemantauan dan pencegahan kebakaran terbuka, Timbalan Pengarah JBPM Sabah Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya sedang memantau rapi kawasan berisiko tinggi berlaku kebakaran di negeri itu terutama di kawasan yang mempunyai tanah gambut.

Beliau berkata, kawasan tanah gambut kira-kira 200,000 hektar di Beaufort antara kawasan tumpuan JBPM Sabah kerana ia mendatangkan kesan besar sekiranya berlaku kebakaran terbuka di lokasi itu.

"Kawasan tanah gambut di Beaufort yang kedua terbesar di negara ini selepas kawasan di Sarawak. Apabila berlaku kebakaran di tanah gambut ini usaha memadam bukan mudah dan akan menyebabkan jerebu yang amat tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 4:47 PM