LORI yang menghantar makanan sumbangan dari Malaysia menerusi Ops Ihsan. FOTO ihsan Sekretariat Induk Ops Ihsan
LORI yang menghantar makanan sumbangan dari Malaysia menerusi Ops Ihsan. FOTO ihsan Sekretariat Induk Ops Ihsan
Hadzlan Hassan


Kuala Lumpur: Tujuh lagi rakyat Palestin syahid ketika sedang beratur mengambil makanan sumbangan dari Malaysia melalui Ops Ihsan, semalam.

Mereka terbunuh dalam serangan udara ketika beratur di kem Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.

Kali ini ia berlaku di depan wakil penghantaran dari Malaysia.

Menurut sumber dari lokasi, ketika serangan, petugas dalam persiapan untuk memulakan proses pengagihan barangan asas makanan termasuk pek makanan yang dihantar menerusi Ops Ihsan.

"Ketika ramai warga tempatan termasuk wanita dan kanak beratur mengambil makanan tiba-tiba kawasan bantuan berdentum mengakibatkan kami semua menyelamatkan diri.

"Semua petugas terselamat namun seramai tujuh warga tempatan syahid dan serangan itu," katanya.

Bagaimanapun katanya, tentera Israel dilihat enggan bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Konflik Gaza selama lima bulan menyebabkan sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk di kawasan itu kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berebut ketika pengagihan bantuan akibat kelaparan melampau.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, pihaknya mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu.

"Perbuatan itu nyata tidak berperikemanusiaan di saat rakyat Palestin sedang berusaha mendapatkan keperluan makanan demi kelangsungan hidup.

"Kami juga menggesa dunia untuk terus mendesak rejim Zionis menghentikan apa yang dipanggil pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan penarikan balik tentera Israel dari Gaza dengan kadar segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 4:16 PM