Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengesyorkan satu kajian lebih komprehensif diadakan supaya isu tanpa kewarganegaraan dapat ditangani secara holistik.

Timbalan Pengerusi Suhakam, K Ragunath berkata, cadangan pindaan itu seharusnya dirangka daripada perspektif dua hala, dengan memelihara kedaulatan negara Malaysia dan mengambil kira natijah untuk mengurangkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

Katanya, Suhakam tidak mempunyai sebarang masalah dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, namun cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dilihat sebagai defisit keyakinan terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Isu penting peruntukan dan hak kewarganegaraan perlu termaktub dalam Perlembagaan dan tidak diserahkan kepada budi bicara menteri.

"Cadangan meletakkan isu kewarganegaraan atas budi bicara menteri adalah sesuatu yang tidak disenangi Suhakam.

"Selain itu, halangan utama dalam peruntukan sedia ada ialah birokrasi dan sikap tidak responsif JPN terhadap pemohon," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Suhakam di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan untuk meminda Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak terbuang melalui kuat kuasa undang-undang.

Beliau berkata, inti pati menangani isu tanpa kewarganegaraan golongan kanak-kanak ini jelas termaktub dalam peruntukan sedia ada di Seksyen 19B, dan Seksyen 1(e) dibaca bersama Seksyen 2(3), namun pelaksanaan tidak sampai ke akar umbi masyarakat terkesan.

"Kementerian Dalam Negara (KDN) tanpa membentangkan bukti yang konkrit dan data kukuh berhubung ancaman keselamatan negara jika kewarganegaraan diberikan kepada golongan kanak-kanak ini, menafikan hak kewarganegaraan seseorang individu secara arbitrari dan boleh disifatkan sebagai tidak berperlembagaan.

"Suhakam juga berpandangan, risiko ancaman keselamatan negara sebenarnya terbentuk daripada isu tanpa kewarganegaraan yang berlarutan, akibat prosedur di peringkat JPN yang tidak jelas dan bersifat eksklusif.

"Amat penting untuk diketengahkan, terdapat kaitan besar antara isu tanpa kewarganegaraan dan keganasan atau jenayah," katanya.

Ragunath (dua dari kanan), ketika sidang media bantahan terhadap beberapa pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kewarganegaraan di Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ragunath (dua dari kanan), ketika sidang media bantahan terhadap beberapa pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kewarganegaraan di Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Katanya, penafian kewarganegaraan merobek peluang seseorang individu untuk membentuk hala tuju dalam kehidupan berikutan individu berasa tidak mempunyai peranan konstruktif untuk memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

"Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan formal adalah berisiko terjerumus ke dalam idea radikal yang akhirnya akan membawa mereka kepada kancah jenayah dan keganasan," katanya.

Kelmarin, Saifuddin di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, komposisi penduduk di negara ini terutama dengan adanya 3.5 juta warga asing, memerlukan kerajaan membuat pindaan kepada Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan, yang ketika ini memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Katanya, situasi semasa memerlukan kerajaan melakukan perkara yang betul dan mengelak kewarganegaraan diberi kepada mereka yang tidak layak.

Selain Suhakam, pelbagai pihak mempertikaikan cadangan itu termasuk Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh; Majlis Peguam, bekas Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 3:52 PM