DR Adina (tengah) menerangkan jadual Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang berada di Jerman pada sesi Pembuka Tirai "Curtain Raiser" hari ini. FOTO BERNAMA
DR Adina (tengah) menerangkan jadual Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang berada di Jerman pada sesi Pembuka Tirai "Curtain Raiser" hari ini. FOTO BERNAMA
Najmuddin Najib

Berlin: Persahabatan yang dibina atas jalinan ekonomi kukuh dan sifat saling menghormati bakal menjadi intipati pada lawatan rasmi pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke Jerman hari ini.

Selepas menamatkan lawatan di Melbourne dan Canberra, di mana syarikat Australia menyatakan minat untuk melabur sebanyak RM24.5 bilion di Malaysia, Perdana Menteri kini beralih kepada pelabur di Jerman, sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Berlin dan Hamburg.

Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin berkata, jadual perjalanan intensif Perdana Menteri selama enam hari akan menyaksikan beliau bertemu pemimpin kanan Jerman, pemain industri, ahli akademik dan penggubal dasar serta diaspora Malaysia.

Perdana menteri dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Berlin, Brandenburg, 10 malam hari ini, di mana beliau akan disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Adina serta wakil kerajaan Jerman.

Selain Mohamad, turut mengiringi lawatannya ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Adina berkata, Perdana Menteri akan memulakan siri programnya pada 11 Mac dengan melawat kilang Siemens Energy di Berlin.

Siemens, katanya, melakukan pelaburan yang banyak di Malaysia dan kini memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui.

Ia kemudian diikuti dengan kunjungan hormat kepada Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier di Istana Bellevue, di mana pada Februari tahun lalu melawat Malaysia.

Steinmeier, dalam lawatannya, menyatakan bahawa Malaysia bersedia menjadi destinasi utama bagi syarikat Jerman mempelbagaikan perniagaan dan pelaburan, dengan lebih 700 syarikat Jerman di Malaysia mewujudkan 65,000 peluang pekerjaan.

"Ini boleh dilihat sebagai lanjutan perbincangan yang dilakukan sebelum ini. Presiden Steinmeyer terkenal dengan minat mendalam terhadap Malaysia dan hubungan persahabatan yang erat dengan perdana menteri dan itu terbukti menerusi lawatannya ke pejabat perdana menteri di Putrajaya ketika ke Malaysia," katanya.

Pada sebelah malam, Anwar akan diraikan dalam sambutan rasmi yang penuh penghormatan oleh Canselor Olaf Scholz di Canselori Persekutuan, diikuti dengan pertemuan empat mata dengan Scholz.

Kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan sidang media bersama media Malaysia dan Jerman sebelum menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Scholz.

Keesokan harinya, Anwar akan menghadiri mesyuarat meja bulat perniagaan dengan kira-kira 30 ketua industri, diikuti mesyuarat perniagaan dengan syarikat terpilih.

Ketua-ketua industri ini, katanya, terdiri daripada pemain penting dalam ekonomi Jerman, dan pelabur utama ke Malaysia.

Adina berkata, pertemuan perniagaan dengan syarikat terpilih pula termasuk nama besar seperti Infineon, Schott AG, Infenion, Melexis dan Airbus, yang memain peranan penting dalam pelaburan masa hadapan.

Pada sebelah malam, Perdana Menteri akan mengadakan sesi dengan diaspora Malaysia di Jerman, merangkumi pelajar dan golongan profesional yang bekerja serta menetap di Jerman.

Selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, Perdana Menteri kemudiannya akan menyertai jemaah di Masjid Sehitlik di Berlin untuk solat Isyak dan Tarawih.

Anwar kemudiannya akan mengadakan perbincangan dengan masyarakat Islam Jerman untuk bertukar pandangan.

Keesokan harinya, Anwar akan memulakan programnya dengan sesi interaktif di Yayasan K├Ârber di Berlin, sebuah badan pemikir bebas tanpa keuntungan yang memfokuskan kepada hubungan antarabangsa termasuk isu-isu berkaitan Asia Barat.

Beliau kemudiannya akan bertemu dengan Naib Canselor Jerman Robert Habeck sebelum menghadiri Mittlestand, yang juga dikenali sebagai SME Future Day, persidangan tahunan perusahaan kecil dan sederhana di mana perdana menteri juga akan menyampaikan ucaptama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 1:34 PM