KERJASAMA antara UNFPA, UIS dan Yayasan KUIS.
KERJASAMA antara UNFPA, UIS dan Yayasan KUIS.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: United Nations Population Fund Malaysia (UNFPA) bekerjasama dengan Universiti Islam Selangor (UIS) dan Yayasan KUIS menyelamatkan mangsa keganasan rumah tangga dengan membiayai pendidikan anak-anak mangsa.

Kerjasama itu juga turut memberi fokus kepada inisiatif lain sebagai usaha pemerdayaan keluarga.

Wakil Negara UNFPA Malaysia Dr Asa Torkelsson berkata, menangani keganasan berasaskan jantina memerlukan pendekatan pelbagai serampang.

"Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), peningkatan bilangan kes keganasan rumah tangga di Selangor sebanyak 4,690 berlaku hanya dalam tempoh 2020 hingga Ogos 2023.

" Tepat pada masanya, UNFPA memainkan peranan terhadap lebih 150 negara dan wilayah untuk membantu dan mengurangkan keganasan yang berasaskan jantina.

"Kerjasama ini membuka jalan terhadap penyelesaian inovatif melalui 'Perpetual Orange Fund' dan 'Work Kafalah Program'. Langkah intervensi ini disokong dengan pembangunan dana dan program yang bertujuan untuk menyumbang kepada keselamatan, pemulihan dan pemberdayaan individu yang terjejas oleh keganasan rumah tangga.

"Perpetual Orange Fund, yang dikendalikan bersama oleh UNFPA Malaysia dan Yayasan KUIS adalah program biasiswa yang disokong oleh dana permulaan daripada kedua-dua pihak bertujuan menyokong pendidikan tinggi untuk anak-anak mangsa keganasan rumahtangga," katanya.

Menurutnya, menerusi program Work Kafalah pula adalah program kerjasama antara UNFPA Malaysia dan Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCEIF) di UIS, bertujuan untuk memperkasakan mangsa yang terselamat dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan.

Menurutnya, ia sebagai sokongan untuk membina dan mendapatkan kembali kawalan terhadap kehidupan mereka melalui pemberdayaan ekonomi dan celik kewangan.

Sementara itu, Naib Canselor UIS Datuk Profesor Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berharap supaya program kesedaran mengenai pemberdayaan mangsa keganasan rumah tangga yang terselamat ini akan membawa impak positif kepada kehidupan mereka.

Pada majlis itu turut diadakan forum bertajuk Peranan Kewangan Sosial Islam dalam Memberdayakan Mangsa Keganasan Rumahtangga.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, yang menyampaikan ucapan perasmian pada bagi pihak Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Senator Dr Zulkifli Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 12:52 PM