GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh tunangnya dengan menyimbah petrol sehingga menyebabkan mangsa mati terbakar terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati terhadapnya dengan penjara 33 tahun dan 12 sebatan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Zabariah Mohd Yusof dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru terhadap Mohamed Hafiz Mohd Bakri, 36, selepas membenarkan rayuan banduan akhir itu.

"Hukuman mati diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 33 tahun dari tarikh tangkap (21 April 2017) dengan 12 sebatan," kata Zabariah yang bersidang bersama-sama Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Mohamed Hafiz dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 5 Okt 2020 selepas didapati bersalah membunuh Nina Farrina Simbul, 21, di sebuah rumah di Taman Sri Bahagia, Tampoi, Johor Bahru pada 4.30 petang 21 April 2017.

Rayuan Mohamed Hafiz ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Okt 2021.

Terdahulu, peguam Muhammad Abd Kadir memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengecualikan hukuman mati terhadap Mohamed Hafiz selaras dengan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, yang mengesahkan perkara itu, pula memohon agar perayu dijatuhi hukuman penjara 35 tahun berdasarkan cara kematian mangsa adalah akibat dibakar.

Bagaimanapun, Muhammad merayu hukuman pemenjaraan minimum dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan insiden itu bukanlah sesuatu yang dirancang meskipun ada keterangan berhubung pembelian petrol.

"Petrol itu dibeli untuk tujuan lain serta kuantitinya sedikit dan hanya bernilai RM2. Perayu cuba memadamkan api yang terkena pada si mati dengan mencurah air namun tidak berjaya sebelum menghantar wanita itu ke hospital.

"Anak guam saya menyesal dengan perbuatannya dan berharap segera keluar dari penjara serta menjadi insan berguna," katanya.

Sebelum ini, seorang saksi pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa pada hari kejadian, Mohamed Hafiz meminta beliau untuk membeli petrol dan menyuruhnya meletakkan botol petrol itu di dalam bilik.

Saksi itu, yang merupakan anak saudara Mohamed Hafiz, mendengar pertengkaran tertuduh dan tunangnya di ruang tamu namun lelaki itu mengarahkan beliau agar masuk ke bilik serta tidak mencampuri urusan mereka.

Bagaimanapun, saksi itu mengintai di sebalik tirai dan melihat Mohamed Hafiz menyimbah petrol ke badan tunangnya sebelum melihat api menyala sehingga menyebabkan mangsa terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 8:56 PM