WAN Saiful Wah Jan. FOTO arkib NSTP
WAN Saiful Wah Jan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menafikan pegawainya ada menghubungi Datuk Wan Saiful Wan Jan semalam berhubung pendedahan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu bahawa beberapa individu menawarkan ganjaran kepada beliau jika menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azam berkata, beliau menyemak perkara itu dengan pegawainya namun didapati tidak ada yang berbuat demikian.

"Boleh jadi orang lain yang hubungi beliau, saya tidak tahu tapi apa yang lebih penting, lebih baik beliau datang ke SPRM atau ke mana-mana balai polis terdekat untuk membuat laporan.

"Ini kerana apabila seseorang itu ditawarkan suapan atau rasuah, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009… kami nak tahu juga apa butir-butir lanjut yang disebut dalam perbualan telefon itu," katanya kepada media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan telus akan dijalankan selagi kes itu di bawah bidang kuasa SPRM.

Terdahulu, pada sidang kemuncak itu, Perdana Menteri menegaskan mana-mana anggota Kabinet di bawah pimpinannya yang didapati terlibat dengan salah laku rasuah, wajib digugurkan daripada jawatan mereka bagi menyelamatkan negara daripada gejala rasuah dan beliau telah mengarahkan SPRM untuk mengambil tindakan terhadap Jemaah Menteri yang didapati terlibat dengan salah laku itu.

Semalam, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mendedahkan bahawa beliau diarahkan untuk menghubungi pihak SPRM selepas menerima mesej daripada pegawainagensi antirasuah itu berikutan pendedahan mengenai ajakan menyokong Perdana Menteri.

Mengenai kes menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang berdepan pertuduhan kes pecah amanah jenayah namun sehingga kini belum dapat dikesan, Azam berkata, SPRM belum memutuskan untuk mendakwa beliau tanpa kehadirannya di mahkamah.

"Tuduhan tanpa kehadiran memang boleh dibuat tapi itu pilihan terakhir kerana kami sudah keluarkan waran tangkap dan percaya dia masih boleh balik ke Malaysia," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Adlan dan peguam Mansoor Saat sedang dikesan oleh SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian setelah dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 dan 21 Mei 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:25 PM