SEORANG wanita yang panik dan gagal mengawal diri melanggar tiga kenderaan dalam kejadian di Jalan Padang, semalam. FOTO ihsan TULAR
SEORANG wanita yang panik dan gagal mengawal diri melanggar tiga kenderaan dalam kejadian di Jalan Padang, semalam. FOTO ihsan TULAR
Amirul Aiman Hamsuddin


Klang: Panik dan gagal mengawal diri menjadi punca seorang wanita bertindak melanggar tiga kenderaan berhampiran Jalan Padang, di sini, tadi

Video kejadian berdurasi 17 saat itu tular di aplikasi TikTok apabila pemandu kereta wanita terbabit melanggar sebuah kereta sebelum mengundur laju lalu merempuh dua lagi kenderaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku jam 7.30 malam semalam.

Beliau berkata, wanita terbabit dipercayai tertekan pedal minyak ketika keluar dari kotak parkir lalu melanggar sebuah kereta di hadapannya.

"Dia yang cemas dan terkejut lalu menukar gear undur. Wanita itu kemudian mengundur kenderaan dalam keadaan laju sebelum melanggar dua kereta lain yang diparkir di tepi jalan," katanya tadi.

Vijaya Rao berkata, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Menurutnya, semua pihak sudah tampil membuat laporan pada hari sama.

"Kertas siasatan berhubung kemalangan itu dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:22 PM