DEWAN Rakyat, gambar fail. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan
DEWAN Rakyat, gambar fail. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pendedahan kegiatan membeli beras hancur untuk makanan haiwan dari luar negara, diseludup ke negara ini dan kemudian dibungkus semula sebagai campuran dalam beras putih tempatan seperti didedahkan muka depan Harian Metro pada 24 Februari lalu, dibawa ke Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, pihak berkuasa digesa untuk menyiasat kegiatan seperti yang didedahkan.

"Beras ini campur dengan dedak haiwan demi mendapat keuntungan. Ini pihak berkuasa perlu menyiasat dan mengambil tindakan segera," katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Parlimen, hari ini.

Harian Metro menerusi muka depannya baru-baru ini mendedahkan taktik licik sebuah syarikat perdagangan beras yang dipercayai menggunakan modus operandi berkenaan untuk mengaut keuntungan mudah dengan cara salah.

Bagaimanapun, kelicikan syarikat berkenaan akhirnya terbongkar susulan pemeriksaan di sebuah kilang beras di Seksyen U5, Shah Alam, yang dilaksanakan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

Dalam pada itu, Che Mohamad turut menyindir kerajaan dengan tidak melakukan perkara seperti Terengganu dalam mengeluarkan beras murah dikenali sebagai Beras Ganu MyGap.

"Kita sedia maklum Terengganu melalui anak syarikat, Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd terus meningkatkan pengeluaran beras jenama tempatan sendiri dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dalam kalangan rakyat tempatan dan luar Terengganu.

"Jadi saya ingin katakan bahawa apa yang kerajaan tak buat ialah untuk mengeluarkan beras yang murah seperti Terengganu hanya berharga RM24 untuk 10 kilogram (kg) berbanding apa dibuat oleh pihak NACCOL (Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) dengan harga RM30," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 5:23 PM