EMMY Suraya (tiga kiri).
EMMY Suraya (tiga kiri).

Kuala Lumpur: Anugerah Industri Pelancongan (TIA2024) akan diadakan buat julung kalinya di Royale Chulan Kuala Lumpur, 26 Julai ini bagi merancakkan lagi sektor pelancongan selain menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Pengerusi Penganjur TIA 2024 Datuk Emmy Suraya Hussein berkata, acara ini adalah inisiatif daripada penggiat industri pelancongan, diterajui Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) serta penganjur bersama, Persatuan Fesyen, Pemodelan dan Pageant Malaysia (MFMPA) dan Santai Travel.

"Majlis Anugerah yang julung kali diadakan bakal mempertaruhkan lebih 60 kategori dalam industri pelancongan.

"Penganjuran acara ini sejajar dengan usaha kami dalam menyokong perkembangan industri pelancongan agar ianya sentiasa berdaya saing di dalam industri pelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi negara," kata Emmy Suraya.

Acara ini turut bertujuan memberi penghargaan kepada penggiat industri pelancongan yang mencapai prestasi cemerlang.

"Menerusi acara ini, kita dapat memberikan motivasi dan suntikan semangat buat semua penggiat industri pelancongan untuk bekerja lebih keras dan kreatif lagi dalam menyumbang kepada kejayaan industri pelancongan negara.

"Sekiranya kita dapat melahirkan penggiat dan perkhidmatan pelancongan yang baik dan berkualiti, kita dapat membantu sasaran pelancongan negara menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026. Sehubungan itu, kerjasama padu daripada semua pihak adalah amat penting untuk mencapai sasaran ini," tambahnya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 5:15 PM