Anthony Loke berucap pada majlis Konvokesyen Akademi KTM Ke-6 di Akademi KTM, Batu Gajah. FOTO L Manimaran
Anthony Loke berucap pada majlis Konvokesyen Akademi KTM Ke-6 di Akademi KTM, Batu Gajah. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Batu Gajah: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam proses melaksanakan program pengubahsuaian kereta api lama dan terpakai berkonsepkan 'refurbished' bagi menambah bilangan pengangkutan itu sekali gus meningkatkan kekerapan perjalanan antara destinasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini sebanyak 18 set kereta api lama membabitkan komuter serta perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang tidak lagi dapat digunakan kerana isu penyelenggaraan sudah dikenal pasti bagi pelaksanaan program mengubahsuai itu.

"Kita akan cuba menghidupkan semula supaya bilangan tren dapat ditambah dengan lebih banyak justeru meningkatkan kekerapan perjalanan terutamanya bagi ETS.

"Bagi sesebuah set ETS, ia mempunyai enam gerabak yang mana gerabak itu tetap serta tidak boleh ditambah, tidak seperti mod lokomotif yang boleh menambah bilangan gerabak.

"Jadi ini kita adakan program 'refurbish' sebilangan set lama agar boleh digunakan semula dalam menambah bilangan kereta api dalam perkhidmatan," katanya selepas Majlis Konvokesyen Akademi KTM (MYRA) ke-6 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Rani Hisham Samsudin.

Loke berkata, penambahan tren serta kekerapan perjalanan perlu dalam memenuhi permintaan terutamanya pada musim perayaan.

Ditanya mengenai tempoh masa program pengubahsuaian tren itu, Anthony berkata, dokumen permohonan cadangan baru diterima pihaknya semalam, justeru proses pemberian tender kontrak diharap berlangsung beberapa bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 5:06 PM