GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Mohd Haris Fadli


Kuala Lumpur: Anggota cawangan khas (SB) maut dipercayai tertembak ketika melaksanakan pemantauan di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik, Kedah, semalam.

Mangsa adalah koperal polis berusia 39 tahun dari Bahagian Anti Pengganas (E8) menyertai pemantauan terbabit pada 27 Februari lalu.

Difahamkan, mangsa masuk ke kawasan hutan simpan berkenaan semalam bersama dua individu lain sebelum disedari belum pulang ke markas penginapan.

Susulan itu, sepasukan polis masuk ke hutan untuk mencari di kawasan berkenaan sebelum menemui kenderaan mereka di tepi jalan kawasan hutan.

Sumber berkata, seorang individu yang bersama dengan mangsa kemudian memberitahu berlaku insiden tertembak yang mengena mangsa.

"Pada 8 pagi hari ini, mangsa dibawa keluar daripada hutan simpan berkenaan dan dibawa ke Hospital Sik untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung kejadian berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 4:21 PM