GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) tidak menerima maklumat berkaitan beras hancur makanan haiwan dicampur dan dipek semula dalam beras untuk dipasarkan kepada manusia.

Pengerusinya, Mohamad Termizi Yop berkata kegiatan itu sukar untuk dipercayai melainkan pihak berwajib melakukan siasatan menyeluruh mengambil tindakan pendakwaan.

"Kami belum menerima aduan perkara itu lagi tapi tidak bermakna benda tak berlaku.

"Dulu kecoh isu beras plastik dari China tapi sekarang isu itu senyap. Timbul pula isu ini dan bagi saya memang sengaja nak timbulkan satu lagi isu beras," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro baru-baru ini menyiarkan taktik licik sebuah syarikat perdagangan beras menggunakan modus operandi membeli beras hancur untuk makanan haiwan dari luar negara, diseludup ke negara ini dan kemudian dibungkus semula sebagai campuran dalam beras putih tempatan.

Namun kelicikan syarikat berkenaan akhirnya terbongkar susulan pemeriksaan di sebuah kilang beras di Seksyen U5, Shah Alam dekat sini, yang dilaksanakan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

Sementara itu, Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang dalam jawapan ringkasnya melalui WhatsApp pula menyatakan ahli Barim tidak terbabit dalam kegiatan seperti itu.

"Beras temukut (beras hancur) ini, Barim tak terlibat dan tiada demand (permintaan)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) Mohd Fuad Yaacob berkata pihak berwajib perlu kerap memantau pemegang lesen perdagangan beras untuk mencegah sebarang penyelewengan.

"Beras tak elok masuk Malaysia kemudian dicampur dengan beras tempatan sudah lama (berlaku). Tipu pengguna ini sudah lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 1:51 PM