NG Suee Lim. FOTO BERNAMA
NG Suee Lim. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kerajaan negeri Selangor akan meneliti keperluan menyemak semula elaun diterima Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut kesesuaian, keperluan dan kedudukan kewangan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, perkara ini juga tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

"Kali terakhir semakan semula kadar bayaran Ahli Majlis dibuat pada 2017 dan dikekalkan melalui Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1 Tahun 2021 Garis Panduan Pengurusan Ahli Majlis PBT Negeri Selangor.

"Buat masa ini Ahli Majlis PBT (Selangor) menerima sejumlah elaun bulanan berjumlah RM2,500 bagi PBT bertaraf bandar raya dan perbandaran, manakala RM2,000 bagi PBT bertaraf daerah.

"Jumlah ini adalah kadar yang dipersetujui dan diselaraskan oleh kerajaan negeri melalui pekeliling berkenaan," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor di sini, tadi.

Beliau menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) dan Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) berhubung elaun dan kebajikan Ahli Majlis PBT Selangor.

Beliau menjelaskan, salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan berhubung semakan semula itu adalah selepas mengambil kira cabaran dan bebanan tugas Ahli Majlis menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti setempat semakin meningkat.

"Cabaran dan bebanan tugas terbabit termasuklah melaksanakan tugasan di lapangan dan sentiasa bersama dalam menguruskan aduan dan hal ehwal penduduk secara sepenuh masa.

"Selain itu, Ahli Majlis juga berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat dan kenaikan kadar bayaran Ahli Majlis ini, pada masa akan datang membantu meringankan bebanan Ahli Majlis.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang sudah melaksanakan kadar baharu bayaran bulanan ahli Majlis dari RM2,500 kepada RM4,000 berkuatkuasa 2023.

"Oleh yang demikian, kerajaan negeri akan meneliti pelaksanaan cadangan itu daripada masa ke semasa dan akan pertimbang mengikut kesesuaian, keperluan dan kedudukan kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 1:07 PM