AZAM, gambar fail. FOTO Ghazali Kori
AZAM, gambar fail. FOTO Ghazali Kori
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Seramai 18 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditauliah sebagai ahli Skuad Taktikal khas pertama buat agensi itu semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, skuad khas itu ditubuhkan bagi menjalankan tugasan berisiko tinggi dan memberi perlindungan keselamatan dalam penugasan SPRM ketika operasi.

Menurutnya, 18 pegawai berkenaan berjaya melalui kursus Advance Special Operations Training (Asot) bagi memenuhi keperluan mendesak berdasarkan beberapa insiden ancaman sebelum ini.

"Kelahiran Skuad Taktikal SPRM ini bukan untuk menandingi pasukan dan skuad khas agensi lain yang ada dan telah lama ditubuhkan.

"Sebagai contoh Pasukan Khas Taktikal (Pastak), Jabatan Imigresen Malaysia, Customs Operational Battle Force Response Assault (Cobra), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain agensi, malah SPRM memerlukan lagi latihan dan perkongsian daripada pasukan-pasukan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pentauliahan Pegawai Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM di Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) VAT 69 Komando, Ulu Kinta, di Perak semalam.

Katanya, kesemua pegawai terbabit dipakaikan beret dan pisau keramat dengan bendera Malaysia dan logo ACTC sebagai simbolik menamatkan kursus dengan cemerlang.

"Kursus Asot ini dilaksanakan selama 14 hari dengan latihan bermula di lapang sasar Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kampar dan berakhir di Kompleks CQB.

"Pasukan ACTS SPRM turut mempelajari kemahiran pertempuran jarak dekat dalam menyelamatkan mangsa daripada penjenayah.

"Pasukan ACTS ini juga akan dipastikan agar sentiasa bersiap siaga dan meningkatkan kemahiran serta kecekapan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 12:33 PM