KEADAAN jalan menuju ke Pos Balar yang sering rosak teruk terutama pada musim tengkujuh menyukarkan penduduk untuk keluar dan masuk ke perkampungan mereka. FOTO Paya Linda Yahya
KEADAAN jalan menuju ke Pos Balar yang sering rosak teruk terutama pada musim tengkujuh menyukarkan penduduk untuk keluar dan masuk ke perkampungan mereka. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Kira-kira 2,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di dua pos di sini, berharap pembinaan Jalan Perhubungan Bersepadu yang dijanjikan sebelum ini dimulakan secepat mungkin.

Penduduk dari Pos Simpor dan Pos Balar itu berharap dengan pembinaan jalan yang berturap ke pos pedalaman akan menyelesaikan masalah jalan perhubungan yang rosak di hadapi mereka sekian lama.

Penduduk Pos Simpor, Dendi Johari, 36, berkata, mereka terpaksa melalui jalan tanah merah yang rosak dan berlumpur pada musim hujan.

Katanya, keadaan jalan yang rosak teruk terutama pada musim hujan menyebabkan penduduk adakalanya terpaksa bermalam di dalam hutan ketika dalam perjalanan keluar dan masuk ke pos terbabit.

"Kami penduduk di Pos Simpor berharap supaya jalan perhubungan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin untuk kemudahan penduduk di kawasan ini.

"Sekarang musim kemarau, dalam masa dua hingga empat jam sudah sampai ke Kuala Betis untuk membeli barang keperluan.

"Namun apabila musim tengkujuh, jika ada urusan mendesak, adakala kami terpaksa bermalam di dalam hutan untuk sampai ke Bandar Gua Musang," katanya ketika ditemui di sini.

Manakala bagi, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang, berkata, dia mewakili lebih 1,000 penduduk Pos Balar berharap projek jalan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Kami tidak nafikan pelbagai projek baik pulih jalan atau penyelenggaraan sudah dilaksanakan, namun ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah kami yang terpaksa berhadapan dengan jalan rosak terutama apabila tiba musim tengkujuh.

"Besar harapan kami supaya ia dapat dipercepatkan seperti yang sudah dijanjikan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, projek Jalan Perhubungan Bersepadu yang menelan belanja sehingga RM 190 juta itu kini dalam proses penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor.

"Saya mendapat makluman daripada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) SST akan dikeluarkan pada Mac nanti atau selewatnya pada April dan pemilihan kontraktor sudah selesai.

"Kita tahu projek ini reka dan bina maka semestinya empat hingga enam bulan pertama, proses 'design' akan bermula, jadi sepanjang proses ini jalan ini perlu dibaiki walaupun sudah ada projek Jalan Perhubungan Bersepadu.

"Projek ini membabitkan jalan Kuala Betis, Pos Bihai, Pos Belatim dan bersambung sehingga ke Pos Hau. Pos pedalaman ini akan bersambung dengan jalan berturap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 12:19 PM