GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Ketidakstabilan beras putih tempatan (BPT) di pasaran antaranya dipengaruhi penggunaan beras dalam tender makanan kerajaan dan sumber bahan mentah itu dijadikan medium pembayaran zakat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata terdapat beberapa punca lain yang pihaknya kenal pasti menjadi penyumbang kepada bekalan BPT tidak stabil dalam pasaran negara.

"Kenaikan harga beras import (BPI) akibat tekanan daripada ketidaktentuan harga beras global, dasar negara pengeksport dan kemerosotan ringgit telah mempengaruhi kenaikan harga BPI.

"Kekurangan hasil pengeluaran padi dalam negara memberi kesan langsung kepada keberadaan bekalan BPT di pasaran. Disebabkan perbezaan harga yang ketara antara BPT dengan BPI, terdapat peningkatan permintaan yang berterusan terhadap BPT untuk kegunaan isi rumah.

"Faktor lain yang dikenal pasti juga mempengaruhi kestabilan bekalan BPT di pasaran awam iaitu pembelian yang tinggi oleh pengusaha kedai makanan dan restoran serta pihak industri yang mengeluarkan produk sampingan beras, penggunaan beras di dalam tender makanan kerajaan dan beras sebagai medium pembayaran zakat.

"Pada Kadar Sara Diri (SSR) beras sebanyak 62.6 peratus, pengeluaran beras semasa di dalam negara tidak dapat menampung keperluan domestik," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mahu kementerian menjelaskan kemanakah perginya beras tempatan sehingga orang ramai berdepan kesukaran mendapatkan bekalan beras tempatan.

Hassan juga menuntut penjelasan daripada menteri adakah wujudnya unsur mafia dalam industri beras di Malaysia.

Mengenai dakwaan bahawa wujudnya unsur mafia atau kartel di dalam industri padi dan beras, pihak Kementerian sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Mohamad Sabu berkata ia bagi menyiasat dakwaan tersebut di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712). Kerjasama penuh akan diberikan kepada MyCC sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 10:37 AM