GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Kira-kira 50,000 peminat permotoran dari seluruh negara dijangka memeriahkan program RXZ Fighter yang akan diadakan di Serambi Teruntum, di sini, selama dua hari, bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, RXZ Fighter yang julung kali dianjurkan itu diharap mencapai objektif itu.

Katanya, RXZ Fighter dianjurkan Kerajaan Pahang dengan kerjasama Kelab Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Bera serta menyediakan pelbagai program sepanjang dua hari itu.

"Antara pengisian ialah solat Subuh macam Jumaat bersama peminat permotoran, pameran permotoran dan jualan.

"Program juga mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau keadaan lalu lintas, termasuk memberikan taklimat berkaitan keselamatan permotoran.

"Kami harap peminat permotoran, terutama yang menunggang RXZ ke Kuantan, mematuhi peraturan jalan raya demi menjaga keselamatan bukan sahaja diri sendiri, malah pengguna lain," katanya.

Fadzli berkata demikian pada sidang media RXZ Fighter dan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 di sini, kelmarin.

Berkaitan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024, beliau berkata, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengetuai ekspedisi selama empat hari bermula Ahad ini.

Katanya, ekspedisi sepanjang 392 kilometer itu akan bermula di Riverfront, Pekan dan berakhir di Tanjung Gahai, Lipis.

"Ekspedisi ini membabitkan 150 peserta dengan menaiki 18 bot di enam daerah iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis.

"Pada masa sama, rakyat Pahang yang berminat untuk program Jom Berkhemah bersama Tengku Mahkota Pahang boleh menghubungi Majlis Sukan Pahang (MSP) dan PDRM.

"Jom berkhemah akan diadakan di tapak Rumah Warisan Chenor, Maran Ahad ini, dan Kampung Gintong, Jerantut, Selasa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:15 AM