LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis menyiasat kes dua individu melecur hampir keseluruhan badan dalam kebakaran membabitkan kereta dan motosikal di Taman Utama, Bercham di sini, hari ini sebagai cubaan membunuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, sebelum kebakaran itu berlaku, ada saksi mendengar pertengkaran kedua-dua mangsa iaitu lelaki berusia 67 tahun dan wanita, 54.

"Apabila saksi keluar (rumah), dia mendapati kebakaran itu berlaku, dengan kedua-dua mangsa sudah terbakar.

"Susulan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul keterangan saksi dan melengkapkan siasatan sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Yahaya berkata, kedua-dua mangsa mengalami kesan lecur difahamkan hampir seluruh badan dan masih tidak sedarkan diri.

Katanya, mereka dirawat di zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kanan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 8:55 PM