ANGGOTA trafik mengadakan sekatan jalan raya di lorong motosikal Tol Bukit Teratai, semalam. FOTO ihsan polis
ANGGOTA trafik mengadakan sekatan jalan raya di lorong motosikal Tol Bukit Teratai, semalam. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Lelaki dalam senarai dikehendaki berkaitan dadah ditahan dalam sekatan jalan raya di lorong motosikal Tol Bukit Teratai di sini, semalam.

Sekatan jalan raya dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu turut mengeluarkan 49 saman atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, ketika ditahan individu berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan badan terhadap individu berkenaan tidak menemui sebarang benda salah. Semakan lanjut ke atas nombor kad pengenalan individu berkenaan mendapati terdapat satu laporan berstatus 'dikehendaki' di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Individu berkenaan dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sepanjang operasi dijalankan seramai 62 individu dan kenderaan diperiksa.

"Sebanyak 49 saman dikeluarkan bagi kesalahan seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan lain-lain kesalahan.

"Sebanyak 10 kenderaan disita mengikut Seksyen 64(1) APJ 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.

"Semua kenderaan dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 2:54 PM